25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Lelaki Algeria cederakan polis dipercayai sakit mental

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

LELAKI warga Algeria yang ditahan selepas menyerang dua anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, awal pagi semalam, dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata suspek berusia 30 tahun itu kini dalam proses pemeriksaan kesihatan oleh pihak hospital.

“Kertas siasatan berhubung kes ini sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini dan mendapat arahan tuduh mengikut Seksyen 353/447 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

“Suspek yang juga gelandangan akan dituduh di mahkamah selepas dibenarkan keluar dari Wad Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam masa terdekat,” katanya seperti Harian Metro Online, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga Algeria ditahan selepas menyerang dua anggota polis di pondok pengawal menggunakan tukul besi dan menceroboh IPK Kuala Lumpur, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.40 pagi itu, suspek datang ke pondok pengawal dan cuba bertanyakan sesuatu kepada seorang anggota yang menjalankan kawalan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dipetik berkata, suspek secara tiba-tiba mengeluarkan tukul besi dan mengetuk kepala anggota terbabit sebelum mengejar anggota lain yang membawa senjata api jenis HK MP5.

Beliau berkata, selepas mencederakan seorang anggota, suspek berlari masuk ke dalam kawasan IPK dan mengejar seorang lagi anggota dipercayai untuk merampas senjata api dibawa anggota terbabit.

Katanya, pada masa sama suspek juga sempat mengetuk belakang badan anggota terbabit dengan tukul besi dibawanya.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan