
CADANGAN mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur sedang dipasarkan atas nama “pendemokrasian bandar”.
Bunyinya begitu indah, tetapi dalam realiti kuasa dan struktur negara, idea ini lebih menyerupai satu eksperimen politik berisiko tinggi.
Harus diingat Kuala Lumpur bukan sebuah makmal uji kaji. Natijahnya amat besar dan berbahaya!
Kuala Lumpur bukan Hong Kong, bukan New York, dan yang lebih penting, bukan bandar autonomi.
Ia adalah Wilayah Persekutuan yang secara langsung berada di bawah Kerajaan Persekutuan, dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tertakluk kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta kementerian khas Wilayah Persekutuan.
Ini bukan kerana kelemahan sistem sebaliknya ini adalah reka bentuk asal para pemimpin terdahulu bagi memastikan kestabilan pentadbiran ibu negara Malaysia tersebut.
Sebenarnya apakah peranan Datuk Bandar yang dipilih? Jika kuasanya terhad, maka pilihan raya itu hanyalah kosmetik demokrasi.
Jika kuasanya diperluas, maka ia bakal mencetuskan pertindihan autoriti dengan kementerian, Ahli-ahli Parlimen dan agensi Persekutuan.
Dalam bahasa mudah, siapa sebenarnya memerintah Kuala Lumpur?
Lebih kritikal, cadangan ini langsung tidak mengambil kira realiti demografi dan politik kaum di Kuala Lumpur.
Dalam sebuah bandar raya dengan komposisi kaum yang kompleks dan sejarah politik yang sensitif, pemilihan Datuk Bandar secara popular hampir pasti akan mengheret pentadbiran bandar ke medan politik identiti.
Dasar perbandaran yang sepatutnya teknokratik — perumahan, lesen, penguatkuasaan, perancangan bandar — berisiko menjadi alat tawar-menawar politik kaum dan kelas.
Dalam senario ini, orang Melayu bukan sekadar bimbang, tetapi mempunyai sebab munasabah untuk merasa terancam dan terpinggir daripada proses membuat keputusan bandar.
Namun ancaman paling berbahaya bukanlah politik kaum, tetapi politik wang.
DBKL mengawal lesen perjudian, pusat hiburan, rumah urut, papan iklan, pembangunan hartanah dan pelbagai aktiviti bernilai tinggi.
Ini bukan kuasa kecil. Ini adalah kuasa ekonomi yang besar. Dalam sistem pilihan raya tempatan, siapakah yang paling berminat membiayai kempen Datuk Bandar?
Sudah tentu golongan tertentu yang memberi keuntungan kepada mereka!
Pengalaman global menunjukkan pilihan raya tempatan sering menjadi pintu masuk kepada kartel, kongsi gelap dan kepentingan gelap yang membeli pengaruh secara senyap.
Apabila Datuk Bandar berhutang budi kepada penyumbang kempen, penguatkuasaan tidak lagi neutral tetapi akan menjadi selektif.
Ketika itu, siapa yang mengawal siapa? Datuk Bandar mengawal DBKL atau DBKL dikawal oleh pemodal bayangan?
Pendokong idea ini gemar bercakap soal demokrasi, tetapi gagal menjawab soal keselamatan tadbir urus.
Demokrasi tanpa perlindungan institusi bukan kemajuan sebaliknya ia membuka pintu kepada penaklukan kuasa oleh pihak paling kaya dan paling licik.
Kuala Lumpur memerlukan pentadbiran yang stabil, terkawal dan berlapik, bukan pentadbiran populis yang terikat dengan kitaran pilihan raya dan tekanan politik jalanan. Tidak semua yang kelihatan “maju” sesuai dipindahkan tanpa saringan.
Kesimpulannya jelas, pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur bukan satu keperluan yang mendesak. Ia adalah satu risiko strategik. Dan untuk sebuah ibu negara, risiko ini terlalu mahal untuk dibayar.
Kuala Lumpur bukan Hong Kong. Kuala Lumpur bukan New York. Dan Kuala Lumpur tidak seharusnya dijadikan eksperimen politik oleh mereka yang ghairah bermain simbol demokrasi tetapi gagal memahami realiti kuasa. — Edisi 9

