DALAM usaha meningkatkan kefahaman dan penerimaan masyarakat berhubung pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan laluan kerjaya yang luas dan jelas.
Menteri, Fadhlina Sidek, KPM melaksanakan aktiviti jerayawara dan hebahan di seluruh negara, menggiatkan program kesedaran dan jangkauan serta kempen bersama-sama pelbagai pihak untuk mempromosikan TVET sebagai pilihan utama.
“Antara strategi yang telah dilaksanakan adalah mempromosi kejayaan lepasan TVET KPM dalam bidang pekerjaan atau yang telah menjadi usahawan berpendapatan tinggi melalui pelbagai platform media sosial serta media cetak dan elektronik; menguar-uarkan laluan artikulasi pengajian murid lepasan diploma TVET KPM ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Teknologi yang dilaksanakan oleh Malaysian Technical University Network (MTUN) dan Ijazah Sarjana Muda di universiti tempatan yang lain.
“Selain itu, menyediakan program pengajian di kolej vokasional berteraskan
industry-led curriculum yang menepati keperluan industri.
“Murid juga memperoleh pengalaman industri melalui on-the-job training (OJT)
dalam tempoh pengajian; menggalakkan tenaga pengajar dan murid TVET KPM berdaftar dengan Malaysian Board of Technologists (MBOT) bagi menaik taraf mereka sebagai Teknologis dan Juruteknik bertauliah dalam bidang
masing-masing.
“Dalam pada masa, turut mempromosikan keberhasilan dan kejayaan murid lepasan TVET KPM dalam peningkatan kebolehpasaran, pertandingan kemahiran dan inovasi pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa; dan meningkatkan kerjasama strategik antara KPM dan industri, institusi pendidikan serta badan profesional berfokuskan kepada pemindahan teknologi, kepakaran dan latihan kemahiran. Kerjasama strategik ini dimeterai melalui Note of Understanding (NoU) dan Memorandum of Understanding (MoU),”katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Pertanyaan Lisan Datuk Seri Wan Azizah Ismail (Bandar Tun Razak) dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.
Wan Azizah meminta Menteri KPM menyatakan apakah langkah menyeluruh memastikan lulusan TVET tidak dipandang pendidikan kelas kedua.
Jelas Fadhlina, antara pihak yang terlibat ialah agensi awam dan swasta seperti Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Johor Petroleum Development Corporation (JPDC), Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), McDonald’s dan Shell Berhad.
Menurutnya, KPM telah melaksanakan Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) bagi tujuan menjadikan pendidikan vokasional sebagai antara pilihan bidang pengajian selari dengan aliran perdana bermula tahun 2012.
“TPV telah mengubah landskap pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) dalam menghasilkan graduan TVET KPM yang berkualiti serta mempunyai kebolehpasaran (marketability), kebolehkerjaan (workability) dan kebolehgajian (employability) yang tinggi untuk memenuhi keperluan revolusi perindustrian.
“Antara program yang disediakan termasuk program Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan sijil profesional di kolej vokasional KPM.
“Selain daripada itu, akses kepada pendidikan TVET diperluaskan di
sekolah menengah harian melalui Program Vokasional Menengah Atas
(PVMA), Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) dan Mata Pelajaran
Vokasional (MPV).
“Pendidikan TVET KPM turut memberi peluang kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK untuk mendapatkan kemahiran bagi memenuhi keperluan pasaran kerja,”katanya.
Fadhlina berkata, KPM yakin usaha yang telah dilaksanakan dapat meningkatkan keyakinan ibu bapa dan masyarakat terhadap pendidikan TVET KPM. – Edisi 9

