31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Sakit dikhianati, namun masih ada sisa kesetiaan – Wanita UMNO

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERHIMPUNAN Agung Wanita UMNO 2022 disifatkan sebagai perhimpunan yang sangat berbeza daripada perhimpunan sebelum ini kerana berhimpun dalam keadaan dan suasana yang bercampur-baur.

Ketuanya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, ada perasaan marah, kecewa dan lebih perit lagi, sakit dikhianati, namun masih ada sisa-sisa kesetiaan yang menebal dalam setiap jiwa perwakilan, hingga masih mampu bersama-sama di dalam PAU.

Bagaimanapun menurut beliau, walau masih sedih, walau masih kecewa, walau masih berduka, namun beliau berharap agar Wanita UMNO dapat menguatkan kembali semangat kita dan bersatu hati bangkit membawa wadah perjuangan bangsa.

“Suka atau tidak, kita harus menerima hakikat bahawa kita hanya menang 30 kerusi sahaja di Dewan Rakyat. Ini merupakan pencapaian terburuk dalam sejarah kita.

“Kita perlu terima hakikat bahawa, rakyat tidak lagi melihat UMNO dan Barisan Nasional sebagai satu wadah atau favourite party yang perlu diberikan mandat dan sokongan untuk memimpin negara kita.

“Kita tidak boleh lagi tenggelam dengan nostalgia lama. Politik khidmat kita tidak lagi mampu memenangi hati dan sokongan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Wanita sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Ujar beliau lagi, Wanita UMNO di semua peringkat telah berjuang bermatian-matian, berkorban segalanya, dengan penuh tekad, semangat, dan kudrat yang ada, demi memenangkan parti.

“Kita semua hanya fikirkan bagaimana untuk menangkan parti, hinggakan keluarga dan rumahtangga pun dah jadi nombor dua ketika itu. Demi parti ini, jiwa dan raga kita serahkan, dan kita buat sehabis baik untuk memenangkan parti kita pada hari pilihanraya (D-Day).

“Namun begitu, pada 19hb November (tahun lalu), keputusan PRU15 ibarat kaca jatuh terhempas. Apa yang kita harapkan tidak menjadi kenyataan.

Bagaimanapun bagi beliau, Wanita UMNO telah memberi yang sehabis baik.

“Namun kemenangan bukan milik kita. Kekalahan yang kita lalui adalah amat memilukan. Ramai di antara kita yang masih dalam kesedihan, kekecewaan dan ada juga yang masih tidak dapat menerima kekalahan ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Wanita UMNO perlu melaksanakan lima pembaharuan penting terutamanya dalam memperbaiki imej parti supaya lebih diterima rakyat.

“Yang pertama, pembersihan dalaman parti harus dilakukan secara total tanpa kompromi. Kedua, gerakan yang berstrategi harus diterapkan kepada Wanita dengan memberi didikan dan kefahaman politik yang matang, maka UMNO wajib segerakan penubuhan Akademi Kepimpinan Wanita.

“Ketiga, penguasaan media sosial kita perlu lebih visible, effective dan prominent melalui penubuhan Unit Media Digital di setiap bahagian.

“Keempat, Skuad Sayang perlu dilihat lebih jelas sebagai agen penghubung kepada masyarakat dengan mewujudkan agenda kesukarelawanan dan yang kelima, peranan dan gerak kerja JR diperkemas seiring dengan perkembangan teknologi dan budaya setempat dan semasa,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan