31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

UMNO perlu keluar daripada kebiasaan mengurus pilihan raya

Konsep jentera dan gerak kerja parti perlu diubah dan memerlukan banyak penyesuaian baharu sesuai dengan situasi masa kini.

Mesti Baca

UMNO perlu keluar daripada kebiasaan dalam menguruskan sesebuah pilihan raya memandangkan corak pengundi kini telah berubah secara drastik, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Menurut beliau, ini dapat dilihat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu yang menyaksikan berlaku ledakan fenomena yang mana keputusan pengundian tidak lagi ditentukan oleh kaedah-kaedah kebiasaan parti itu.

Beliau berkata, konsep jentera dan gerak kerja parti perlu diubah dan memerlukan banyak penyesuaian baharu sesuai dengan situasi masa kini.

“Politik pembangunan dan politik khidmat mungkin semakin tidak relevan. Kalau kita memberi khidmat pun, hanya kerana kita perlu melakukannya secara ikhlas, bukan lagi untuk mengharapkan pulangan undi dari rakyat.

“Apatah lagi dengan pertambahan pengundi yang mendadak naik, tidak mungkin kita boleh memberi khidmat kepada semua lagi,” katanya dalam Ucapan Dasar Perhimpunan Agung Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Zahida yang tewas ketika bertanding di kerusi Parlimen Padang Besar dalam PRU15 lalu berkata, ramai calon UMNO yang mempunyai jalur rekod yang baik mengalami kekalahan kepada mereka yang tidak mempunyai sebarang rekod pencapaian.

Malahan, jelas beliau, banyak kawasan yang mempunyai keahlian dan cawangan yang besar tetapi tetap kalah kepada parti yang tidak mempunyai kekuatan seperti UMNO.

“Bahkan banyak konsep-konsep gerak kerja pilihan raya kita perlu disemak semula. Apakah konsep pengundi putih masih dianggap penting dalam model pilihan raya kita? Masih relevankan penghantaran handbill apabila semuanya boleh disemak secara talian?,” katanya.

Zahida berkata, gerak kerja menggunakan jentera pengangkutan juga perlu disemak semula memandangkan hampir semua rakyat sudah ada akses pengangkutan masing-masing.

Pada masa yang sama, beliau berkata, Puteri UMNO juga perlu menyemak semula peranannya terutama dalam menguruskan sistem maklumat pada masa hadapan.

“Sama seperti gelagat pengguna hari ini. Mereka membeli barang melalui Shopee dan Lazada dan ini semakin menjadi kebiasaan baru. Grab food dan food panda semakin popular. Ehailing seperti Grab sudah menggantikan teksi yang semakin tidak kelihatan. Dunia baru ini memerlukan pendekatan yang baru.

“Banyak kaedah yang dilihat sangat berkesan ketika kita bertanding dalam PRK dan beberapa PRN sebelum ini, tetapi dalam sekelip mata ia menjadi sudah tidak berkesan dalam PRU15 baru-baru ini,” katanya.

Zahida berkata, kaedah komunikasi juga sangat berbeza apabila ceramah dan kunjungan rumah ke rumah sudah tidak lagi relevan apabila maklumat hanya di hujung jari.

Katanya, televisyen dan akhbar sudah tidak lagi menjadi rujukan utama malahan kita baharu mahu berjinak dengan facebook, twitter dan instagram, muncul pula tsunami Tik Tok yang bukan sahaja digemari oleh orang muda, orang tua pun turut membuat perkongsian.

“Sebab itu kalau ditanya apakah peranan Pergerakan Puteri di masa depan?

“Kita sepatutnya menjadi penentu trend baru dalam parti. Kalau parti perlu reform, maka Puterilah sepatutnya menjadi agen reformasi terkuat dalam parti.

“Sebagai orang muda mari kita perah otak kita untuk memberi dimensi muda untuk meremajakan parti yang kita sayangi,” katanya.

Sehubungan itu, Zahida berkata, dalam menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung tahun ini, beliau akan memastikan gerak kerja bentuk baharu dilaksanakan.

Ini termasuk memperkemaskan askar media sosial, membina kumpulan pempengaruh yang boleh mengubah pemikiran anak muda dalam memberi keseimbangan di negeri-negeri yang menjadi sasaran parti.

“Saya menyeru pucuk pimpinan parti berilah tumpuan kepada kaedah ini, berilah keutamaan untuk menguruskan perang persepsi ini.

“Sepatutnya media sosial dijadikan “core business” parti secara keseluruhannya di semua peringkat.

“Apa yang disebut oleh Tok Mat semalam perang ini adalah perang kognitif ianya perlu difahami disemua peringkat dan parti dituntut untuk membuat seluruh persiapan bagi memahami perang ini,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan