Monday, July 20, 2026

Puteri UMNO ingatkan PKR jangan uji setiakawan 

PKR perlu faham, menerima individu yang meninggalkan parti sahabat dalam kerajaan bukan hanya mengguris hati ahli UMNO, tetapi mencalar semangat setiakawan - Nurul Amal

Mesti Baca

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) diberi amaran agar tidak menguji semangat setiakawan dalam Kerajaan Perpaduan dengan menerima individu yang meninggalkan UMNO demi kepentingan peribadi.

Amaran itu disuarakan Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, susulan keputusan  Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz meletakkan semua jawatan dalam UMNO, namun enggan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berprinsip, sambil mempersoalkan niat sebenar Tengku Zafrul yang dilaporkan berhasrat menyertai PKR.

“PKR perlu faham, menerima individu yang meninggalkan parti sahabat dalam kerajaan bukan hanya mengguris hati ahli UMNO, tetapi mencalar semangat setiakawan yang menjadi asas pembentukan Kerajaan Perpaduan,” tegas Nurul Amal.

Beliau berkata, tindakan seperti ini hanya akan mengundang kecurigaan dalam kalangan parti komponen, dan boleh menyebabkan perpecahan dalam gabungan yang sepatutnya bersatu memulihkan negara.

“Keinginan beliau untuk menyertai PKR akan menjadi kayu ukur sejauh mana kukuhnya Kerajaan Perpaduan. Soalnya sekarang, adakah PKR sanggup menggadai setiakawan hanya kerana seorang individu yang meninggalkan parti?” katanya.

Dalam nada tegas, Nurul Amal juga menegur sikap selektif Tengku Zafrul yang hanya mahu melepaskan jawatan dalam UMNO tetapi kekal dalam kerajaan.

“Apakah Tengku Zafrul memilih untuk melepaskan tanggungjawab, tetapi tidak mahu melepaskan keistimewaan yang datang bersamanya?” soalnya.

Menurut beliau, UMNO tidak akan tergugat dengan tindakan sedemikian kerana kekuatan parti tidak bergantung kepada individu, sebaliknya kepada semangat perjuangan dan kesetiaan akar umbi.

“UMNO tidak akan mati kerana pemimpin silih berganti. Yang setia akan terus dihormati. Yang datang hanya untuk mengenali, biarlah ia pergi tanpa disesali,” ujar beliau.

Nurul Amal turut mengingatkan bahawa ahli UMNO tidak akan berdiam diri sekiranya semangat kerjasama dalam kerajaan dihancurkan oleh tindakan oportunis.

“Mudaratnya pasti melarat, dan akar umbi tidak akan memandang remeh tindakan yang merugikan parti dan gagasan bersama ini,” katanya lagi.

Beliau menyeru seluruh ahli Puteri dan anak muda dalam UMNO agar terus memperkukuh kesetiaan kepada parti dan menjadikan insiden ini sebagai iktibar.

“Buat yang setia, kita pastikan yang terbaik untuk UMNO. Kami selaku sayap muda akan kekal setia selamanya,” tegasnya.

Tindakan Tengku Zafrul dilihat sebagai ujian terbesar terhadap integriti politik dalam Kerajaan Perpaduan dan bakal mencetuskan ketegangan jika tidak ditangani secara bijaksana oleh kepimpinan tertinggi. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan