Tuesday, July 21, 2026

Pandangan rakan Kerajaan Perpaduan diambil kira – Fuziah

Bagaimanapun sehingga kini PKR belum menerima permohonan secara rasmi daripada Tengku Zafrul untuk menyertai parti itu.

Mesti Baca

PANDANGAN daripada rakan-rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan serta akar umbi akan diambil kira sebelum meluluskan permohonan Datuk Seri Tengku Zafrul Abd Aziz sekiranya beliau mahu menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh bagaimanapun berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima permohonan secara rasmi daripada Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu untuk menyertai PKR.

“Untuk makluman, semua permohonan keanggotaan parti PKR dilakukan melalui kaedah memohon secara atas talian.

“Setiap permohonan akan melalui proses biasa, di mana selepas permohonan dibuat secara atas talian, ia akan diproses dan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri memutuskan untuk meninggalkan UMNO bagi menyertai PKR.

Tengku Zafrul Abd Aziz bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapatkan nasihat daripada para sahabat di dalam dan luar parti, termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ekoran itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melahirkan rasa kesal dengan niat Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu mahu meninggalkan parti untuk menyertai PKR.

Katanya, adalah amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti-parti lain sewenang-wenangnya.

“Ini bagi mengelakkan berlakunya ketidakharmonian di kalangan parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan hingga tercetus pula prejudis dan prasangka berterusan mengenai tahap kesetiakawanan, keikhlasan dan kejujuran sesama sendiri di kalangan ahli akar umbi,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan