TINDAKAN pantas dua anggota trafik mengiringi kereta awam yang dinaiki pasangan suami isteri yang cemas menghadapi saat kelahiran anak semasa kesesakan jalan raya di Jelawat, Bachok, Kelantan ke hospital harus diberikan pujian.
Ini kerana, wanita yang sedang sarat mengandung itu berjaya dibawa dengan selamat ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu sebelum dikejarkan ke wad bersalin.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh, dua anggota trafik yang baru sahaja selesai menjalankan Op Selamat di Jelawat melihat insiden itu terus menahan kereta tersebut.
“Kereta jenis Proton Wira dipandu suami wanita itu dilihat memandu secara melulu dan memotong di garisan berkembar kira-kira pukul 7 malam.
“Semasa menjalankan soal siasat, pemandu kereta yang berusia dalam lingkungan 30-an memaklumkan isterinya sedang sakit untuk bersalin.
“Dua anggota trafik itu mengiringi kereta itu ke Klinik Kesihatan Gunong di sini untuk mendapatkan bantuan ambulans. Semasa tiba di klinik itu, ambulans didapati telah keluar untuk membawa pesakit lain ke hospital.
“Keadaan ketika itu menyebabkan dua anggota polis itu terus bertindak mengiringi kereta terbabit sejauh 20 kilometer ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, ekoran bimbang wanita tersebut bersalin di dalam kereta,” katanya seperti dilaporkan media hari ini.
Ujar Shuhaimi, pasangan suami isteri itu selamat tiba di HPRZ II kira-kira pukul 8 malam sebelum wanita terbabit dibawa ke wad bersalin.
Menurutnya, beliau menghargai tindakan pantas anggota polis yang prihatin dan cakna membantu orang awam pada Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina.
“Meskipun sibuk dengan tugasan mengawal kesesakan trafik, anggota polis juga sentiasa diingatkan agar melakukan khidmat sosial apabila masyarakat menghadapi masalah di jalan raya,” katanya.
-EDISI9