25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

14 pegawai, anggota polis ditahan lindungi ahli pertubuhan haram

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 14 anggota dan pegawai polis di Terengganu ditahan susulan terlibat dalam pertubuhan haram Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) pada Jumaat lalu disyaki memberi perlindungan kepada ahli pertubuhanan tersebut.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, seramai tujuh ahli pertubuhan haram yang turut ditahan dalam Op Selendang itu terlibat dalam kegiatan tarik kereta dan mengutip hutang menggunakan keganasan serta gangsterism terhadap mangsa, namun dilindungi anggota dan pegawai polis terlibat.

Menurutnya, ahli pertubuhan itu dilindungi anggota dan pegawai polis dengan menampal pelekat kereta berlogo AHK bagi memastikan kenderaan tidak dikenakan walaupun terlibat dalam jenayah dan melakukan kesalahan undang-undang jalan raya.

“Berdasarkan maklumat dan siasatan awal, ahli AHK yang ditangkap dipercayai menggunakan unsur kekerasan seperti ‘ah long’ ketika menarik kereta dan mengutip hutang.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan sumber dana pertubuhan haram ini dan kami percaya anggaran ahli AHK sekitar 200 sehingga 300 orang,” katanya kepada pemberita sempena sidang akhbar di IPK Terengganu, hari ini.

Difahamkan, kesemua 14 anggota dan pegawai polis itu merupakan antara 21 individu ditahan berusia antara 20 sehingga 49 tahun.

Mereka ditahan dalam operasi khas tersebut yang dilancarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman di sebuah rumah di Dungun.

Dalam pada itu, Rohami berkata, kesemua anggota dan pegawai polis itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dan Kuala Terengganu serta Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Ujarnya, daripada 14 anggota dan pegawai polis yang dicekup, dua masih ditahan reman sehingga esok.

“Seramai 10 anggota dan pegawai terlibat telah ditahan kerja bermula semalam dan dua lagi menunggu tindakan lanjut,” ujarnya.

Turut ditangkap ujar beliau ialah ketua kumpulan yang juga seorang peniaga berusia 39 tahun, selain turut merampas lapan bilah senjata tajam, lapan buah kenderaan dan 28 telefon bimbit.

“Beberapa naskhah al-Quran, selendang dan kain kafan turut ditemukan ketika serbuan dipercayai bagi upacara ritual angkat sumpah taat setia ahli pertubuhan terbabit.

“Semua suspek kini sedang disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

-EDISI9

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan