KERAJAAN Sweden perlu segera membuat permohonan maaf kepada seluruh umat Islam kerana telah membangkitkan kemarahan dalam insiden membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm baru-baru ini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Sweden sepatutnya sedar mereka tidak hidup bersendirian di dunia ini malah mempunyai negara sahabat berpenduduk Islam.
Bahkan beliau turut kesal dengan tindakan kerajaan Sweden yang membenarkan seorang ahli politik pelampau kanan, Rasmus Paludan membakar al-Quran.
“Tindakan ini telah mengguris serta membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
“Kebebasan bersuara dan hak asasi manusia bukanlah alasan untuk menghalalkan perbuatan ini kerana ia jelas bertentangan dengan nilai mana-mana agama sekalipun.
“Kerajaan Sweden harus memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan bukan hanya menzahirkan rasa simpati melalui media sosial,” katanya dalam Facebook hari ini.
Ujar Ismail Sabri lagi, kebebasan bersuara seharusnya dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab melalui dialog dan toleransi.
Sabtu lalu, Paludan yang juga pemimpin parti Stram Kurs membakar naskhah al-Quran ketika menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye dengan perlindungan ketat polis Sweden.
Ahli politik Denmark-Sweden itu itu didakwa menerima permit daripada kerajaan Sweden untuk melakukan demontrasi tersebut.
-EDISI9