31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Pesawat terhempas di Nepal, sekurang-kurangnya 68 maut

Pesawat itu menghubungi lapangan terbang dari Seti Gorge pada jam 10.50 pagi sebelum terhempas.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEKURANG-KURANGNYA 68 mangsa terkorban apabila sebuah pesawat membawa seramai 72 orang meliputi 15 warga asing, terhempas di Pokhara, hari ini, dalam nahas udara disifatkan terburuk sejak tiga dekad lalu di Nepal.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dijalankan. Cuaca adalah baik,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal, Jagannath Niroula.

Stesen televisyen tempatan menyiarkan rakaman menunjukkan kepulan asap tebal dengan ratusan anggota bertungkus lumus melaksanakan operasi SAR di lokasi kejadian sekitar lereng bukit, manakala orang ramai dilihat turut berkumpul di kawasan bangkai kapal terbang itu. Sebahagian tapak di mana pesawat itu terhempas juga dilihat hangus dijilat api.

“Pesawat itu terbakar,” kata pegawai polis, Ajay KC sambil memaklumkan anggota SAR berdepan kesukaran untuk sampai ke lokasi kejadian dalam gaung antara dua bukit yang terletak berdekatan lapangan terbang bandar pelancongan berkenaan.

Menurut pihak berkuasa penerbangan dalam satu kenyataan, pesawat itu menghubungi lapangan terbang dari Seti Gorge pada jam 10.50 pagi sebelum terhempas.

Seorang penduduk tempatan, Arun Tamu memberitahu Reuters, beliau sampai ke lokasi kejadian beberapa minit selepas kapal terbang itu terhempas.

“Sebahagian daripada pesawat itu berada di lereng bukit, manakala sebahagian lagi terhempas ke dalam gaung di Sungai Seti,” katanya.

Advertisements

Insiden berlaku ketika pesawat dengan enjin berkembar, ATR 72 kendalian Yeti Airlines, berlepas dari Kathmandu dengan membawa 72 orang termasuk dua bayi dan empat kru, kata jurucakap syarikat penerbangan Nepal itu, Sudarshan Bartaula.

Seorang pegawai lapangan terbang Nepal pula memaklumkan, seramai 15 warga asing turut berada dalam kapal terbang berkenaan membabitkan lima warga India, Russia (empat), Korea Selatan (dua) dan Ireland, Australia, Perancis serta Argentina (masing-masing seorang).

Perdana Menteri Nepal, Pushpa Kamal Dahal, mengadakan mesyuarat kecemasan Kabinet susulan tragedi itu, menurut satu kenyataan kerajaan.

Menurut laman sesawang penjejakan penerbangan, FlightRadar24, pesawat terbabit dalam tragedi hari ini berusia 15 tahun.

ATR72 merupakan pesawat ‘turboprop’ enjin berkembar yang dikeluarkan hasil usaha sama Airbus dengan Leonardo dari Itali. Yeti Airlines memiliki enam kapal terbang ATR72-500, menurut laman sesawangnya.

Sejak 2000, sekurang-kurang 309 mangsa dilaporkan terkorban dalam nahas kapal terbang atau helikopter di Nepal – negara yang mempunyai lapan daripada 14 gunung tertinggi di dunia, termasuk Everest – berikutan ancaman keadaan cuacanya yang boleh berubah secara tiba-tiba.

REUTERS

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan