DALAM diam seorang pelajar tahun akhir Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Kuala Lumpur mengharumkan nama negara apabila terpilih menyertai program Youth Ambassador Arctic Basecamp di Davos, Switzerland.
Cindy Lim Hui Bing merupakan salah seorang daripada dua belia yang dipilih dari seluruh dunia untuk menyertai program iklim benua Artik tersebut.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zaful Tengku Abdul Aziz yang bertemu Cindy ketika menyertai Forum Ekonomi Dunia (WEF) di ibu negara Switzerland itu berkata, kejayaan gadis tersebut membanggakan negara.
“Proses pemilihan terbuka kepada semua belia di seluruh dunia, jadi kejayaan pelajar tahun akhir jurusan perubatan di International Medical University (IMU) ini terpilih menjadi Youth Ambassador pastinya sangat membanggakan,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Tengku Zafrul berkata, ucapan pertama aktivis iklim Greta Thunberg di WEF Davos adalah di Arctic Basecamp pada 2019.
“Adakah Cindy bakal membawa impak yang sama besar dengan Greta Thunberg? Saya yakin beliau akan berjaya membawa mesej kesedaran alam sekitar dengan caranya tersendiri. All the best, Cindy!,” katanya.
Beliau juga berharap Cindy mampu menjadi wanita unggul sepertimana dua nama besar iaitu Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif yang berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Dr Jemilah pernah dilantik sebagai Chief Humanitarian Response Branch, United Nations Population Fund manakala Maimunah kini menjawat jawatan Pengarah Eksekutif United Nations Human Settlements Programme (UN-Habitat).
Untuk rekod, Youth Ambassador Arctic Basecamp bertujuan untuk mendidik, melibatkan diri dan memberi inspirasi kepada golongan muda dalam aktiviti iklim.
Menurut laman webnya, (arcticbasecamp.org) pada masa ini, program itu menawarkan maklumat berskala kecil tentang apa yang berlaku di Artik dan perkara yang dilakukan Arctic Basecamp sebagai sebuah organisasi. – Edisi 9