PANTAI Batu Layar di Kota Tinggi, Johor yang meragut satu nyawa manakala seorang lagi masih hilang dalam kejadian lemas di pantai berkenaan semalam ditutup kepada orang awam.
Notis penutupan sementara kawasan rekreasi itu dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) hari ini.
MPP menerusi kenyataan yang dikeluarkan berkata, penutupa Pantai Batu Layar itu berkuat kuasa sehingga 24 Januari.
“Kerjasama semua pihak amatlah dihargai,” kata notis tersebut.
Dalam kejadian semalam, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mati lemas tersebut manakala seorang lagi berusia 16 tahun masih hilang ketika mandi-manda di pantai tersebut kira-kira pukul 1.25 petang.
Kedua-dua mangsa datang ke pantai tersebut bersama empat rakan lain dengan menaiki motosikal dari Kluang dan kehadiran mereka di situ diketahui ibu bapa masing-masing.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, operasi mencari dan menyelamat remaja yang hilang diteruskan pagi ini.
Beliau berkata, gerakan mencari itu dilakukan oleh 72 pegawai dan anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.
“Kaedah pencarian dilakukan secara visual dan dipecahkan kepada tiga pasukan.
“Radius pencarian adalah di kawasan pantai sepanjang dua kilometer dan antara 0.5 hingga dua batu nautika di kawasan laut sekitar mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan.
Hussin berkata JBPM menjangkakan air surut pada 5.21 petang ini ke paras 0.3 meter, justeru sektor pencarian mangsa juga akan dilakukan di kawasan sekitar pantai yang surut. – Edisi 9