SEORANG lelaki yang keluar rumah untuk mencari kerang di pantai Tenglu Laut, Mersing pagi kelmarin ditemukan mati lemas, 400 meter dari pantai tersebut kira-kira pukul 6.35 petang semalam.
Mangsa, Hafiz Nursalam Ahmad, 21, seorang warga tempatan yang bekerja sendiri kali terakhir dilihat memakai baju-T berwarna oren berlengan panjang dan berseluar denim sebelum hilang kira-kira 10 pagi Isnin.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya telah mengaturkan gerak operasi Carilamat setelah mendapat laporan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, operasi dikoordinasikan oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru pada hari kedua itu meliputi keluasan sektor pencarian 12 batu nautika persegi di sekitar perairan Mersing.
“Pencarian itu dilakukan melalui persisiran pantai dan tinjauan udara menggunakan dron seterusnya mangsa berjaya ditemukan dengan bantuan waris mangsa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, operasi berkenaan diatur gerak menggunakan bot ronda Maritim Malaysia, dibantu oleh sebuah bot ronda Pasukan Polis Marin (PPM) RH 32.
“Operasi Carilamat turut dibantu dua buah bot ronda Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Daerah Mersing dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Mersing dan bot penduduk kampung setempat,” katanya.
Sehubungan itu, Nurul Hizam menasihati seluruh komuniti maritim agar mengutamakan keselamatan sebelum dan semasa melakukan aktiviti di pantai mahupun di laut. – Edisi 9

