24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Najib fail petisyen kepada PBB minta bebas atau dibicara semula

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Najib Razak memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD) bagi meminta dibebaskan atau dibicarakan semula.

Peguam mewakili bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya itu memohon panel UNWGAD membabitkan lima pakar keadilan antarabangsa.

Petisyen tersebut dimohon antaranya berikutan Mahkamah Persekutuan, kata Muhammad Shafee, didakwa gagal memberi masa yang mencukupi dan peluang yang munasabah kepada pasukan pembelaan Najib untuk berhujah mengenai kes anak guamnya itu.

“Pada dasarnya, Najib dihantar ke penjara tanpa diberi peluang membela diri di Mahkamah Persekutuan.

“Beberapa hari terakhir untuk rayuan pada Ogos lalu membawa kepada ‘keadilan tergesa-gesa’ apabila peguam baharu dilantik tidak diberikan masa yang jelas untuk membaca berpuluh ribu muka dokumen rayuan atau untuk melihat 94 alasan rayuan difailkan peguam sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang disiar secara langsung dalam Facebook Najib Razak, hari ini.

Ujarnya lagi, UNWGAD akan meneliti rayuan sama ada perbicaraan melibatkan Najib dijalankan secara adil atau sebaliknya.

Advertisements

Menurutnya, sekiranya ia didapati tidak adil, anak guamnya itu boleh memohon kepada kerajaan untuk membebaskan beliau atau memberi perbicaraan semula.

“Walaupun keputusan ini tidak menjejaskan secara langsung, ia amat memberi impak kerana Malaysia mempunyai ahli perundangan yang terkenal dan kini menjadi ahli kumpulan kerja terbabit,” katanya.

Muhammad Shafee menjangkakan menerima maklum balas daripada UNWGAD, dalam beberapa bulan akan datang.

Menurutnya, semua dokumen berkaitan telah dihantar kepada UNWGAD.

“Jika ia diproses, petisyen tersebut kemudian akan dihantar kepada Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Luar,” katanya.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan