24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Ismail Sabri nafi terbabit ‘Langkah London’

Sebaliknya beliau sedang berseronok bercuti bersama keluarganya di Dubai, UAE atau digelarnya 'langkah Dubai'

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan tuduhan bahawa beliau terbabit dalam gerakan menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi “Langkah London”.

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sebaliknya sedang berseronok dengan ‘langkah Dubai’ bersama keluarganya selepas lebih tiga tahun tidak bercuti kerana menguruskan negara.

“Langkah London? Ini namanya langkah keluarga di Dubai. Dubai itu di  Emiriah Arab Bersatu (UAE) bukan di London.

“Kalau di London tentu kami dah beku kesejukan sebab London tengah musim sejuk,” katanya dalam Facebook hari ini.

Beliau mengulas dakwaan seorang penulis blog bahawa dua Naib Presiden UMNO mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin di London untuk menjatuhkan Zahid.

Menurut dakwaan itu, gerakan yang dinamakan “Langkah London” tersebut bertujuan menjatuhkan Timbalan Perdana Menteri itu dalam usaha menggulingkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Ismail Sabri menyifatkan tuduhan yang mengaitkan beliau dengan gerakan seperti itu sebagai fitnah yang sengaja dicipta untuk memburukkan namanya.

Advertisements

Beliau menjelaskan tarikh yang dinyatakan itu ialah tarikh beliau bercuti dengan keluarganya di UAE dari 22 Disember hingga 3 Januari lalu, tarikh yang didakwa beliau menemui beberapa pemimpin politik di London.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya. Ini merupakan fitnah jahat.

“Saya berdiam diri selepas PRU15 sehingga kini, tiada kenyataan mengenai UMNO, tiada kenyataan mengenai kerajaan. Tujuan saya berdiam diri supaya tiada spekulasi dan fitnah mengaitkan saya.

“Tapi pemfitnah yang tidak mengenal dosa ini masih terus mengaitkan saya, sebab itu saya menganggap ini merupakan fitnah berniat jahat,” katanya seperti dilapor media.

Dalam hantaran terdahulu, Ismail Sabri meluahkan kesyukuran selesai bercuti bersama keluarga di UAE selepas tiga tahun tidak sempat bercuti kerana urusan kerja.

“Lapang kepala… Tidak serabut dengan masalah politik dan lain-lain. Ada cucu pula yang menjadi penghibur,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan