26.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, January 29, 2023

Maritim tahan dua bot nelayan gajikan pekerja bawah umur

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan dua buah bot nelayan tempatan dalam dua operasi berasingan kerana didapati menggajikan pekerja asing tanpa permit yang sah serta pekerja di bawah umur.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal ronda dan bot Maritim Malaysia telah memeriksa dua buah bot nelayan kelas A dan C ketika melaksanakan rondaan Op Pertiwi serta Op Tanjung.

“Penahanan pertama pada jam 9.43 pagi dilakukan oleh kapal ronda Maritim setelah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan kelas C di kedudukan 17 batu nautika barat daya Pulau Kendi yang berpangkalan di Bagan Panchor, Perak.

“Pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan empat kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 35 hingga 40 tahun, tiga daripadanya tiada mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi dipercayai memiliki dokumen pengenalan diri meragukan.

“Penahanan kedua pada jam 5 petang pula adalah bot nelayan kelas A berpangkalan di Sungai Udang oleh bot ronda Maritim di kedudukan 2.8 batu nautika barat Batu Kawan.

Baca juga:   Agong berkenan ke Doha penuhi persilaan peribadi

“Bot berkenaan dikendalikan tiga kru warga tempatan berumur dalam lingkungan 12 hingga 16 tahun dipercayai dalam perjalanan menuju ke sangkar ikan berdekatan.

“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu tidak mengusahakan sendiri dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (pekerjaan) 1966 menggajikan pekerja di bawah umur.

Baca juga:   Cubaan seludup 8,000 liter minyak diesel tumpas

“Selain itu melanggar Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua bot serta kesemua kru kemudiannya telah ditahan termasuk hasil laut dan muatan makanan ikan dibawa di Jeti Polis Marin Batu Uban serta Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.

Ujarnya, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka.

“Justeru, Maritim Malaysia juga memandang serius pengusaha atau majikan yang menggajikan atau mengeksploitasi pekerja di bawah umur dan sesekali tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan yang sedia ada,” katanya.

Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.-Edisi 9

Baca juga:   Maritim Malaysia perketat kawalan perairan menjelang Aidilfitri

Wartawan

Terkini

Sepasang bot kenka ditahan, tangkap ikan kawasan larangan

ZON Maritim Kuala Kurau telah menahan dua bot nelayan tempatan jenis pukat kenka di kedudukan 12.1 batu nautika barat...

Lagi Artikel Berkaitan