25.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

4 warga Myanmar ditahan, kendali bot nelayan tanpa kebenaran

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

ZON Maritim Kuala Kurau telah menahan dua bot nelayan tempatan kelas B jenis pukat tunda bersama empat kru nelayan warga Myanmar di Pulau Pasir Hitam, Perak pagi tadi.

Suspek ditahan pada kedudukan 2 dan 2.1 batu nautika barat daya antara jam 11.10 hingga 11.30 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, semasa rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang, Maritim Malaysia telah mengesan bot terbabit di dua lokasi yang berasingan dan dirapati untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua bot itu menemukan, terdapat empat kru nelayan warga Myanmar termasuk tekong berusia antara 30 hingga 44 tahun di atas bot tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot itu memiliki lesen yang sah namun bot terbabit tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dan gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Sehubungan dengan itu, kesemua kru nelayan, bot, hasil udang campur sebanyak 50 kilogram dan peralatan menangkap ikan ditahan sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya di sini.

Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

“Suspek juga akan disiasat juga dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya serta tiada kebenaran menggajikan warga asing,” katanya.

Ujarnya, Maritim Malaysia menasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

Sebarang aduan, salah laku dan kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – Edisi 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan