25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Usaha memartabatkan bahasa Melayu berhasil – Ismail Sabri

Susulan langkah kerajaan Korea Selatan menggunakan bahasa Melayu pada papan-papan tanda jalan di negara itu

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap impian dan cita-citanya untuk memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa membuahkan hasil apabila bahasa itu mula digunakan secara rasmi di negara asing.

Ini berikutan langkah yang diambil oleh kerajaan Korea Selatan yang memilih bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa yang digunakan pada papan-papan tanda di sekitar bandar raya Seoul baru-baru ini.

“Semestinya saya berbangga apabila Bahasa Melayu berkembang dan digunakan oleh negara asing iaitu Korea Selatan.

“Saya serta pejuang bahasa Melayu akan terus memperjuangkan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa,” katanya hari ini.

Beliau mengulas perkongsian seorang netizen, Zakaria Azizi dalam kumpulan Malay Dialects (Indonesia, Malaysian anda Other Malay Variant) mengenai penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda di tempat-tempat tumpuan pelancong di Korea Selatan

Bagi Zakaria, usaha Korea Selatan meletakkan beberapa bahasa pada papan tanda mereka iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Indonesia dan Jepun bagi membantu pelancong asing yang berkunjung ke negara itu.

“Jumlah pelancong dari Malaysia dan Indonesia yang berkunjung ke Korea Selatan juga meningkat saban hari. Oleh itu, penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda di sana amat diperlukan,” kongsinya, seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Tambah Zakaria, meskipun terdapat beberapa perkataan yang kurang tepat namun usaha kerajaan Korea Selatan harus diberi pengiktirafan yang sewajarnya.

Sementara itu, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Korea Selatan atas usaha tersebut dan menganggap ia sebagai satu pengiktirafan kerajaan negara itu kepada Malaysia dalam memartabatkan bahasa Melayu.

Beliau sebelum ini menjadi Perdana Menteri pertama yang melaksanakan dasar penggunaan bahasa Melayu dalam surat-surat rasmi kerajaan malah menjadikan bahasa itu sebagai pengucapan pemimpin negara di pentas antarabangsa.

Malah beliau juga menjadi pemimpin negara pertama menggunakan bahasa Melayu ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) Ke-77 yang berlangsung di ibu pejabat PBB, New York dari 22 hingga 25 September lalu.

Untuk rekod, jumlah pelancong Malaysia ke Korea Selatan terus meningkat dengan lebih 400,000 rakyat negara itu melawat negara ginseng itu pada 2019.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan