POLIS telah mengambil keterangan empat ahli keluarga seorang remaja perempuan yang hilang sejak Ahad selepas keluar dari inap desa (homestay) di Taman Salak Maju, Sepang.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mereka yang direkodkan keterangan adalah ibu bapa, kakak serta abang remaja itu.
“Buat masa ini, kita masih lagi mengesan remaja itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan kejadian seorang remaja perempuan yang hilang selepas keluar dari inap desa yang disewa bersama keluarga di Taman Salak Maju, Sepang.
Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kehilangan remaja berkenaan yang dikenali sebagai Salsabila Putri Md Nasir, 13, disedari abangnya pada jam 2.30 pagi.
“Terdahulu, mangsa bersama keluarga tinggal di homestay yang disewa selama dua hari satu malam.
Wan Kamarul Azran berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan inap desa itu mendapati, Salsabila Putri Md Nasir, 13, remaja berpakaian serba hitam keluar dari rumah sewa itu dan berjumpa dengan seorang lelaki.
Katanya, remaja itu kemudian dilihat menaiki motosikal yang ditunggangi lelaki yang tidak dikenali itu.
Beliau berkata, abangnya cuba menghubungi Salsabila beberapa kali namun tidak berjaya sebelum laporan polis dibuat.
Katanya, abangnya turut mendakwa Salsabila banyak mengenali rakan menerusi permainan atas talian. – Edisi 9