30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Permohonan cabar pengampunan Anwar didengar 10 Januari

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERMOHONAN seorang peguam untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi mengembalikan saman mencabar kesahan pengampunan diraja yang diberi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 akan didengar 10 Januari tahun hadapan.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memohon kebenaran merayu susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 21 September tahun lalu yang membenarkan rayuan Anwar untuk membatalkan saman difailkan terhadap perdana menteri itu dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Tarikh berkenaan ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mazuliana Abdul Rashid, melalui prosiding pengurusan kes secara e-Review hari ini.

Ia turut dihadiri peguam J Leela mewakili Anwar dan Azureen Ibrahim bertindak bagi pihak Mohd Khairul Azam.

Mohd Khairul Azam yang memfailkan saman pemula pada 26 Februari 2020 dengan menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar sebagai defendan, mendakwa beberapa tindakan tidak berperlembagaan diambil bagi memastikan Anwar menerima pengampunan yang membebaskannya dari penjara susulan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Peguam itu mendakwa, pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong bercanggah Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan kerana kuasa pengampunan hendaklah dilaksanakan atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Menurutnya, ketika itu Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna berikutan negara baru selesai menjalankan PRU-14 pada 9 Mei 2018 dan dalam proses membentuk kerajaan baharu.

Untuk rekod, pada 21 September 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar dan Lembaga Pengampunan untuk membatalkan saman pemula selepas memutuskan Mohd Khairul Azam mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memulakan saman itu.

Ia diputuskan atas alasan beliau ahli masyarakat umum dan berkelayakan sebagai peguam serta wujud isu yang boleh dibicarakan dan perlu didengar sepenuhnya.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Anwar dengan memutuskan keputusan itu dibuat berdasarkan pelaksanaan hak pengampunan diraja yang tidak dapat diubah atau disahkan oleh mahkamah.

Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar yang dijatuhi Mahkamah Rayuan berikutan sabitan kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

-EDISI9

Terkini

Jarak bukan penghambat kemesraan menyambut Aidilfitri

Oleh DR AZMAWATY MOHAMAD NOR HARI Raya Aidilfitri merupakan peristiwa yang menggembirakan di mana ia adalah masa untuk keluarga dan...

Lagi Artikel Berkaitan