29.9 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Tumpu keperluan rakyat, bukan projek berbilion ringgit – Anwar

Mesti Baca

KERAJAAN akan memberi tumpuan terhadap penyelesaian masalah kemudahan asas rakyat berbanding mengutamakan projek pembangunan infrastruktur yang boleh ditangguhkan. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan ke tanah besar Sabah yang dianggar memerlukan kos lebih RM6 bilion bukan menjadi keutamaan buat masa ini.

Tegasnya, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tiada inisiatif baharu di Labuan, menjadikannya seolah-olah agak tersisih dari arus pertumbuhan dan perkembangan negara.

“Ada beberapa cadangan, Insya-Allah kita boleh kemukakan. Cadangan jambatan Labuan adalah cadangan lama tapi kita kena tahu kos pembinaan dalam kajian terbaharu melebihi RM6 bilion.

“Kita perlu tengok keupayaan dan jumlah peralihan penduduk dan ia tidak memungkinkan pembinaan jambatan itu ekonomik.

“Dalam rancangan pembangunan Labuan, kita mengambil langkah-langkah menyegerakan isu-isu rakyat yang penting iaitu bekalan air.

“Saya tidak boleh menerima kenyataan, memacu pembangunan ekonomi pesat dan menarik pelaburan beratus bilion ringgit tetapi masalah asas belum diselesaikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan Labuan, Sabah, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Anwar berkata, sejumlah RM300 juta diperuntukkan bagi menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang berlarutan di di Labuan dalam Belanjawan 2024.

Katanya, antara usaha bagi memacu pembangunan ekonomi Labuan akan membabitkan peranan pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Labuan (Labuan IBFC), Bank Negara (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia.

“Sekitar akhir Januari tahun hadapan, BNM, Bursa Malaysia dan SC akan mengadakan persidangan bagi mencari jalan bagaimana kita mampu mengangkat semula peranan Labuan sebagai pusat perniagaan dan kewangan tersohor di rantau ini.

Advertisements

“Kita mahu ada inisiatif baharu di Labuan bagi menarik lebih ramai pemain industri beroperasi di Labuan, maka ini sebabnya kita mahukan kemudahan asas di Labuan diselesaikan segera,” katanya.

Perdana Menteri berkata, tumpuan terhadap penyelesaian kemudahan asas adalah lebih realistik berbanding memikirkan projek pembangunan bernilai berbilion ringgit.

“Apabila saya dilantik menjadi Perdana Menteri, saya mewarisi hutang negara RM1.5 trilion dan defisit, yang bermakna kekuatan kewangan negara lemah, hasil jauh kurang berbanding tanggungan,” katanya.

Walaupun negara berdepan kemelesetan ekonomi, Anwar memberi jaminan usaha memperjuangkan nasib rakyat tetap menjadi keutamaan negara.

Perdana Menteri memberi peringatan, amalan sakau-menyakau dalam pentadbiran negara perlu diperangi pemimpin kerajaan manakala rakyat juga harus membantu kerajaan membersihkan pentadbiran kerajaan daripada anasir itu.

Selepas setahun Kerajaan MADANI memerintah, katanya, belum ada seorang pun pemimpinnya terbabit dalam skandal rasuah.

“Rakan-rakan kita di Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan, UMNO-Barisan Nasional, mereka tahu pendirian saya.

“Kalau ada kes (skandal rasuah) membabitkan mana-mana pemimpin, saya sebagai pemimpin kerajaan akan mengambil tindakan menyingkirkan mereka segera daripada kepemimpinan mereka,” katanya.

Anwar mengakui ada pihak tertentu tidak menyenangi pendirian beliau yang hanya memberi fokus kepada tata kelola dan isu rasuah.

“Jangan ambil ringan perkara-perkara ini. Selagi isu tata kelola bebas rasuah ini tidak diselesaikan dengan sebaiknya, kewangan negara tidak akan stabil,” katanya. -Bernama

Advertisements

Terkini

MASA, IDS jalin kerjasama bidang penyelidikan, masyarakat

INSTITUT Kajian Pembangunan (Sabah) IDS dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan menjalin...

Lagi Artikel Berkaitan