25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Pengisytiharan Malaysia ‘Kawasan Tempatan Jangkitan’ dilanjut

Bagi memudah cara KKM jalankan aktiviti pencegahan dan pengawalan penularan jangkitan COVID-19.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGISYTIHARAN Malaysia sebagai “Kawasan Tempatan Jangkitan” yang akan tamat esok, 31 Disember telah dilanjutkan sehingga 30 Jun depan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, lanjutan pengisytiharan itu bagi memudah cara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan aktiviti pencegahan dan pengawalan penularan jangkitan COVID-19 menggunakan peruntukan di bawah P.U. (A) 83/22.

“Pelanjutan ini telah diwartakan pada 27 Disember 2022 melalui perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No.2) 2022 [P.U. (A) 397/2022],” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, KKM menggariskan empat strategi utama bagi mengawal penularan COVID-19 di negara ini, termasuk melindungi komuniti melalui pemberian vaksin termasuk kumpulan rentan dan berisiko tinggi.

Bagi menggalakkan pengambilan vaksin dalam kalangan kumpulan yang berisiko tinggi, KKM menawarkan pemberian vaksin secara walk-in (tanpa perlu membuat janji temu terlebih dahulu) di klinik kesihatan dan hospital KKM bermula 9 Januari 2023.

“Mereka yang belum melengkapkan dos primer atau dos penggalak boleh membuat janji temu melalui MySejahtera atau menghubungi Klinik Kesihatan berhampiran,” katanya lagi.

Dr Zaliha berkata, kumpulan berisiko tinggi diletakkan di bawah tiga kategori iaitu kes komorbiditi termasuk penyakit kronik; warga emas berusia 60 tahun ke atas; atau individu berisiko mendapat gejala teruk, dan komplikasi akibat jangkitan COVID-19.

Selain itu, beliau berkata, pemberian rawatan ubat antiviral Paxlovid (nirmatrelvir/ritonavir) juga disediakan kepada pesakit COVID-19 yang layak mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Advertisements

“Bagi tujuan tersebut, KKM sentiasa memastikan ketersediaan antiviral di semua fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan yang dikenal pasti,” katanya.

Selanjutnya beliau berkata, KKM sentiasa mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon sistem perkhidmatan kesihatan awam.

“Pengukuhan pengurusan COVID-19 melalui pendigitalan dilaksanakan dengan pendekatan FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate and Support) yang diautomasikan.

“Melalui pendekatan ini, individu yang menjalani ujian pengesanan COVID-19 kendiri boleh melaporkan keputusan ujian mereka ke dalam aplikasi MySejahtera – selain melakukan ujian tersebut di fasiliti kesihatan.

“Keputusan ujian akan segera dikemas kini dalam MySejahtera pengguna,” katanya lagi.

Dr Zaliha berkata, kes positif akan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Home Surveillance Order; HSO) dan juga Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Release Order; RO) secara digital dan tidak perlu hadir secara fizikal di Pejabat Kesihatan Daerah mahupun Pusat Penilaian COVID-19 (COVID-19 Assessment Center, CAC).

Selain itu, jelasnya lagi, KKM akan memastikan semua CAC beroperasi secara fizikal mahupun secara maya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan