36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Penduduk orang asli Pos Balar mula dapat bakul makanan

Kelancaran gerak kerja penghantaran ke lokasi-lokasi yang telah ditetapkan adalah tertakluk juga kepada keadaan cuaca.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENDUDUK Orang Asli Pos Balar, Gua Musang Kelantan yang terputus hubungan akibat tanah runtuh dalam kejadian yang berlaku pada 20 Disember lalu, boleh menarik nafas lega apabila bantuan bakul makanan akan disalurkan bermula hari ini.

Penghantaran akan dibuat bermula hari ini sehingga Khamis dan akan disalurkan di lokasi Pos Gob (187 KIR), Pos Simpor (210 KIR), RPS Balar (223 KIR), Belatim (185 KIR) dan seterusnya Pos Bihai (304 KIR).

Bagaimanapun, Unit Perhubungan Awam Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menerusi kenyataan dikeluarkan berkata, kelancaran gerak kerja penghantaran ke lokasi-lokasi yang telah ditetapkan adalah tertakluk juga kepada keadaan cuaca kerana ianya menjadi faktor utama bagi penerbangan helikopter.

“Keperluan penghantaran bakul makanan ini memang dalam perancangan pihak JAKOA, namun ianya tidak dapat dilaksanakan lebih awal disebabkan oleh penugasan helikopter pihak Bomba yang lebih memerlukan di kawasan yang terjejas dengan banjir di negeri Kelantan dan Terengganu yang berlaku
pada beberapa hari yang lepas.

“Penghantaran melalui kenderaan darat pula tidak dapat dilaksanakan disebabkan oleh keadaan jalan yang teruk dan terdapat runtuhan tanah yang berlaku di antara Pos Balar dan Pos Belatim iaitu berhampiran Kg. Dakoh,” katanya.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku.

Bagi urusan itu, JAKOA berkata, pihaknya telah berbincang dan bekerjasama dengan pihak JKR KESEDAR untuk kerja-kerja pembersihan runtuhan serta pembaikan cerun.

“Namun kerja-kerja di lapangan mungkin tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat memandangkan keadaan jalan yang teruk serta cuaca yang masih buruk yang menyukarkan jentera berat untuk masuk dan sampai ke lokasi kejadian,” katanya.

Jelas JAKOA, untuk makluman, urusan penghantaran bantuan Bakul Makanan menggunakan helikopter telah dibincang bersama Unit Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada 13 Disember 2022.

Pada 20 Disember lalu, seramai 800 penduduk orang asli di Pos Balar, Gua Musang Kelantan terputus hubungan selepas laluan yang menjadi jalan keluar dan masuk ke perkampungan mereka tertimbus akibat tanah runtuh. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan