Tuesday, July 21, 2026

Pelbagai usaha tingkatkan pendapatan Orang Asli – Zahid

Mesti Baca

KERAJAAN menerusi Jabatan Kemajuan Orang Aslia (JAKOA) melaksanakan pelbagai usaha bagi meningkatkan pendapatan isi rumah Orang Asli dengan sasaran sebanyak 40 peratus menjelang 2030.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu sekali gus dapat mengurangkan kadar kemiskinan dalam komuniti tersebut secara berkesan.

Beliau berkata, antara langkah yang telah dan sedang diambil termasuk memastikan Orang Asli bukan sekadar menerima bantuan tetapi juga diberdayakan untuk berdikari dan maju seiring dengan arus pembangunan negara.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, antara usaha yang dilakukan oleh JAKOA itu ialah melaksanakan Program Modenisasi Pertanian Orang Asli.

“Ia sebagai salah satu strategi utama dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing lebih 8,000 Orang Asli yang bergantung kepada sektor pertanian dan penternakan sebagai sumber pendapatan utama.

“Program ini menyasarkan untuk memberi manfaat kepada 5,000 penerima dalam tempoh lima tahun dengan menyediakan bantuan kelengkapan pertanian sehingga RM5,000.

“Selain peruntukan RM50,000 bagi membina baharu serta menaik taraf infrastruktur pertanian di kawasan penempatan Orang Asli termasuk sistem pengairan, stor penyimpanan hasil dan rumah hijau,”katanya hari ini.

Zahid berkata, bagi memastikan komuniti tersebut dapat menerapkan teknologi moden dalam sektor pertanian, kerajaan juga menyediakan bantuan mekanisasi pertanian sehingga RM15,000.

Katanya, ia merangkumi sokongan untuk jentera kecil dan sistem pengairan automatik, serta bantuan integrasi pertanian sehingga RM10,000 bagi pembangunan sistem pertanian bersepadu.

Di samping itu, Bantuan Sara Hidup sebanyak RM170 sebulan kepada lebih 2,000 penerima setiap tahun sehingga tanaman sawit berhasil di bawah Program Tanam Semula Ladang Orang Asli juga dilaksanakan.

“Untuk terus memperkasa masyarakat Orang Asli, JAKOA turut melaksanakan Program Pembangunan Usahawan dan Koperasi Orang Asli bagi meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti,”katanya.

Menerusi program tersebut, JAKOA menyediakan Geran Bantuan Bimbingan Usahawan untuk membina premis perniagaan termasuk bengkel dengan kadar tidak melebihi RM50,000.

Selain itu, kata Zahid, pemberian bantuan peralatan dan mesin ringan sehingga RM30,000, bantuan geran koperasi sehingga RM300,000 bagi setiap permohonan dan bantuan Program Skim Insentif Sokongan Koperasi (SISKOP) yang tidak melebihi RM25,000 turut disediakan. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan