Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] telah pun dikuatkuasakan, membawa perubahan yang lebih komprehensif dalam memperkukuh kawal selia dunia digital.
Langkah ini bukan sahaja meningkatkan perlindungan terhadap pengguna internet malah memastikan platform digital bertanggungjawab dalam mengawal kandungan yang disiarkan.
Menanggapi penguatkuasaan akta tersebut Ketua Pegawai Pelaburan DDNK Holdings Berhad, Datuk Dr Nazri Khan berkata, Akta 588 sebagai langkah penting dalam memastikan ekosistem digital yang lebih selamat, terutamanya dalam menangani penyebaran berita palsu dan penipuan dalam talian.

Beliau berkata, dalam industri kewangan dan pelaburan, terlalu ramai individu tidak bertanggungjawab menggunakan platform digital untuk memperdaya orang ramai dengan janji pulangan tidak masuk akal.
“Secara keseluruhan, dalam tempoh 10 bulan pertama tahun 2024, rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kerugian lebih RM1.2 bilion akibat pelbagai jenis penipuan dalam talian, termasuk penipuan pelaburan.
“Jika akta ini dapat membantu mengekang aktiviti penipuan sebegini, ia adalah satu perkembangan yang sangat baik untuk melindungi pelabur dan masyarakat secara keseluruhan,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang diwartakan pada 7 Februari lalu telah dikuatkuasakan bermula semalam selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 pada 9 Disember lalu.
Sementara Nazri yang juga dikenali sebagai DDNK berkata, beliau sendiri sering menjadi sasaran penipuan dalam talian (scammer) yang menyamar menggunakan nama, gambar dan video beliau untuk menipu orang ramai termasuk menyunting kad pengenalan diri.
“Ini amat berbahaya kerana golongan tidak bertanggung jawab sanggup mencipta akaun palsu di media sosial terlalu banyak, menawarkan skim pelaburan palsu, memberikan pulangan yang tidak masuk akal dalam masa singkat dan memperdayakan individu, terutamanya mereka yang kurang berpengalaman dalam pelaburan.
“Ramai yang datang kepada saya selepas ditipu, dan ini adalah sesuatu yang amat mengecewakan kerana ia merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap pelaburan yang sebenar termasuk Kesan buruk kepada nama saya dan juga perniagaan saya,” kata pakar pelaburan tersebut.
Sementara itu Penasihat Kanan Keselamatan Maklumat AirAsia Berhad, Suriasah Putera berkata, ancaman terbesar dunia digital hari ini adalah penipuan kewangan dan kecurian data peribadi.

Menurutnya, perkembangan teknologi yang pesat memudahkan akses kepada dunia digital, namun ia juga membuka ruang kepada ancaman yang lebih besar.
Beliau menegaskan kurangnya kesedaran tentang keselamatan maklumat peribadi, sikap ingin mencari perhatian di media sosial, serta keinginan mengejar kemewahan antara punca utama masyarakat menjadi mangsa jenayah siber.
Oleh itu, beliau menasihati semua pengguna supaya lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat peribadi dan tidak mudah percaya dengan apa yang dipaparkan di Internet.
Justeru, jelas beliau, langkah kerajaan meminda Akta 588 diharap dapat memperketatkan lagi penguatkuasaan terhadap penyedia kandungan digital serta lebih berkesan melindungi masyarakat.
“Dengan adanya langkah-langkah ini, kerajaan berharap rakyat Malaysia dapat menyokong usaha ini dan mengambil langkah bijak untuk melindungi diri serta keluarga daripada ancaman dalam talian.
“Jika kita semua berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing, tidak mustahil kita dapat membentuk ekosistem digital yang lebih selamat, lestari, dan bertanggungjawab untuk generasi kini dan akan datang,” katanya. – Edisi 9

