Wednesday, July 22, 2026

Maritim Malaysia bakal miliki kapal baharu buatan Turkiye

Mesti Baca

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal menerima sebuah kapal induk baharu buatan Turkiye sebagai langkah strategik memperkukuh keupayaan pertahanan dan penguatkuasaan maritim negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, perolehan kapal misi pelbagai guna (MPMS) itu merupakan satu keputusan tepat dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

“Bagi pembinaan kapal tersebut, syarikat Desan Shipyard dari Turkiye telah dipilih berdasarkan merit, selain kepakaran dan keupayaan syarikat berkenaan dalam industri pertahanan negara itu yang diiktiraf di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia yang diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman dengan pihak Pengerusi Lembaga Desan Shipyard, Cenk Ismail Kaptanoğlu di
Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam.

Majlis MoU berkenaan turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan.

Mohd Rosli berkata, perolehan kapal MPMS itu menandakan satu lonjakan besar dalam keupayaan operasi Maritim Malaysia.

Beliau berkata, kapal berteknologi tinggi tersebut dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun 2027 dan bakal menjadi aset penting dalam mengawal perairan negara.

“Dilengkapi spesifikasi canggih, MPMS mampu beroperasi selama 30 hari tanpa henti, selain dilengkapi aset moden iaitu empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), serta turut mempunyai, helideck, fasiliti perubatan dan pusat tahanan.

“Kapal yang berukuran 99 meter panjang serta boleh membawa 70 orang kru dan 30 orang penumpang ini, akan memberi tumpuan kepada pengawasan di Laut China Selatan, khususnya dalam menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti penangkapan ikan haram, serta membanteras jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia,” tambah beliau.

Mohd Rosli memaklumkan, pemeteraian perjanjian ini sejajar dengan usaha Malaysia untuk memperkukuh keselamatan maritim menerusi kerjasama antarabangsa.

Dengan termeterainya perjanjian tersebut, Maritim Malaysia optimis hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye dalam sektor pertahanan maritim akan terus diperkukuh, sekaligus memberi manfaat besar kepada keselamatan dan kestabilan perairan negara. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan