26.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 1, 2024

Cubaan seludup 8,000 liter minyak diesel tumpas

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CUBAAN sebuah bot nelayan menyeludup minyak diesel dengan mengubah suai ruang tangki minyak di bawah rumah kemudi tumpas apabila ditahan pihak berkuasa di perairan Kuala Perlis malam tadi.

Penahanan tersebut dilakukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis pada kedudukan lebih kurang 1.2 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis, jam 8.30 malam.

Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain, tangkapan adalah hasil maklumat risikan dan intipan yang dilakukan oleh Unit Risik Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP).

“Bot nelayan kelas C tersebut ditahan pada kedudukan lebih kurang 1.2 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis, Perlis ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang dalam rondaan Op Aman.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, bot terbabit dikendalikan oleh tekong dan dua awak-awak kesemuanya warga tempatan yang berumur dalam lingkungan 22 hingga 38 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot mendapati, bot tersebut telah diubah suai dengan menambah ruang tangki minyak di bawah rumah kemudi yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya di sini.

Advertisements

Beliau berkata, anggaran nilai minyak diesel yang dirampas adalah sebanyak 8,000 liter dengan nilai RM 16,000.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot, enjin, dan minyak diesel sekitar RM216,000,” katanya.

Ujar beliau, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubahsuai tangki minyak tambahan tanpa kebenaran dan melanggar syarat sah lesen dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak diesel bersubsidi.

“Bot, hasil tangkapan dan kesemua mereka, tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti penyeludupan yang berlaku bagi membanteras penyeludupan minyak diesel bersubsidi.

“Sebarang aduan di perairan Perlis, boleh disalurkan ke talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi ZMKP 04-9851072 atau 04-9851162,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi. Jabatan Perikanan...

Lagi Artikel Berkaitan