24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Bukan perkauman, hanya periksa individu mencurigakan

Pihak polis sentiasa berhemah dan bersikap adil dalam melaksanakan tugas pencegahan jenayah dengan tidak mengamalkan sebarang unsur perkauman.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS menafikan tindakan anggotanya memeriksa empat lelaki tempatan di tepi jalan Jalan Cenderuh, Taman Bamboo, Jinjang, Kuala Lumpur malam tadi membabitkan unsur perkauman.

Sebaliknya Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pemeriksaan sedemikian adalah tugas yang perlu dijalankan sekiranya pihak polis mengesan sebarang kenderaan atau individu dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun menurutnya, satu siasatan dijalankan sebaik tersebar satu ciapan di media sosial berkaitan kejadian itu dan mengaitkannya dengan isu perkauman.

“Terkesan satu ciapan di Twitter oleh seorang individu yang memuat naik tangkap layar (mesej di WhatsApp) aduannya kepada Ketua Polis Negara, kira-kira pukul 11.20 malam tadi.

“Pengadu tidak berpuas hati kerana anaknya diperiksa secara rambang oleh lima lelaki yang memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis di Jalan Cenderuh, Taman Bamboo,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ujar Eng Lai lagi, siasatan mendapati lima anggota dari Balai Polis Jinjang itu sedang menjalankan rondaan cegah jenayah dan nampak empat lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan, kira-kira pukul 10.30 malam.

“Apabila melihat ketibaan pihak polis, mereka dengan segera masuk ke dalam kereta masing-masing.

Advertisements

“Selepas memperkenalkan diri, pihak polis meminta kad pengenalan mereka untuk membuat semakan rekod jenayah dengan Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul,” katanya.

Eng Lai berkata ketika pemeriksaan, seorang lelaki meminta anggota polis bercakap dengan peguamnya bagi tujuan pengesahan dan pihak polis menjelaskan tujuan pemeriksaan itu dijalankan.

“Setelah selesai pemeriksaan, kesemua mereka dibenarkan beredar dari lokasi pemeriksaan setelah pihak polis tidak menemui sebarang kesalahan dilakukan,” katanya.

“Pihak polis sentiasa berhemah dan bersikap adil dalam melaksanakan tugas pencegahan jenayah dengan tidak mengamalkan sebarang unsur perkauman,” katanya.

“Kita ingin menasihatkan orang awam supaya tidak mudah membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan