30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Zahid pengkhianat atau penyelamat UMNO?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

KERAJAAN baharu sudah dibentuk, Anwar Ibrahim sudah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan Kabinet sudahpun diumumkan.

Impian Anwar untuk menjadi Perdana Menteri selepas perjuangan lebih 24 tahun akhirnya tercapai. Bermakna perjuangan PKR juga boleh dikatakan berakhir.

Zahid pula dapat menjadi Timbalan Perdana Menteri setelah membuat perancangan begitu lama untuk menabalkan gurunya sebagai PM.

Itu kalau merujuk perbualan telefon yang didakwa suara Zahid dan Anwar sejurus berakhir Persidangan Agung UMNO Mac lalu.

Laungan No Anwar, No DAP akhirnya tinggal tahi di wajah 3.5 juta UMNO setelah parti itu memilih Yes Anwar, Yes DAP untuk menjadi rakan sekutu membentuk kerajaan sejurus PRU-15.

Keputusan yang mengecewakan Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang sehingga sampai hari ini masih meroyan dan merengek disebabkan gagal membentuk kerajaan. Sebahagian orang UMNO pun kecewa…

Nampaknya scheme of things oleh Muhyiddin tak menjadi. Umpanan jawatan PM kepada Ismail Sabri Yaakob juga gagal dan 10 Ahli Parlimen UMNO yang sudah tanda tangan SD menyokong Muhyiddin sebagai PM ditarik balik.

Pedih memang pedih. Tapi itulah percaturan Zahid dan UMNO/BN ketika parti itu menjadi kingmaker selepas PRU-15 ekoran tiada parti yang berjaya dapat jumlah kerusi separuh daripada 221 yang dipertandingkan.

Tiga pemimpin parti Melayu utama, Ahmad Zahid Hamidi (UMNO), Muhyiddin Yassin (Bersatu) dan Abdul Hadi Awang (Pas).

Apakah Zahid mengkhianati UMNO atau menyelamatkan parti itu?

Itulah yang masih hangat dibincangkan di mana-mana biarpun kerajaan sudah dibentuk dan Anwar sudah jadi PM.

Buat masa ini aku tak mahu ulas sama ada Zahid akan terlepas semua dakwaan mahkamah yang dihadapinya atau nasib Najib Razak yang sedang dipenjarakan.

Aku lebih tertarik dengan gerakan yang dilakukan Zahid selepas PRU-15 yang menyaksikan UMNO/BN membakulsampahkan No Anwar No DAP yang diputuskan parti itu sebelum ini.

Mari kita tengok senario yang bakal berlaku jika UMNO/BN bersama PN. Ini berdasarkan pandangan beberapa orang ‘totok’ UMNO yang aku jumpa.

PN adalah parti yang diasaskan bersama oleh Bersatu dan Pas. Bersatu ditubuhkan oleh Mahathir Mohamad dan Muhyiddin bagi ‘mengambil alih’ UMNO yang dikatakan sudah tidak relevan.

Bersatu adalah duplikasi UMNO. Nama pun hampir sama, perjuangan juga sama dan tidak mustahil perlembagaan kedua-dua parti ini sama. Sebabnya Bersatu mengambil acuan UMNO.

Bersatu atau nama penuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Ada yang sebut singkatan PPBM. UMNO pula Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Dulu singkatannya dipanggil PEKEMBAR sebelum ditukar menjadi UMNO.

Muhyiddin pula bekas Timbalan Presiden UMNO yang dipecat sebab tidak sehaluan dengan Presidennya, Najib Razak pada 2014/2015 lalu.

Bayangkan kalau UMNO duduk di bawah satu kerajaan PN, sekali lagi kerajaan PN, apa akan jadi pada masa depan UMNO? Apakah masih boleh bertahan atau ‘ditelan’ oleh Bersatu?

PN juga adalah parti gabungan hampir menyerupai Barisan Nasional (BN). Kalau BN berada di bawah kerajaan PN bukankah nama BN akhirnya lenyap?

Itulah orang UMNO takut, walaupun Annuar Musa kata Muhyiddin tak akan ‘bunuh’ UMNO. Tapi siapa tahu?

Bayangkan UMNO adalah parti Melayu, Bersatu dan Pas juga parti Melayu. Lalu parti mana paling dominan? Kalau Bersatu dominan apakah mereka boleh berlaku adil dalam pengagihan kerusi atau jawatan?

Ah, jangan fikirkan sangat soal jawatan dan kerusi, yang penting penyatuan ummah. Itu kata penyokong PN yang cuba memujuk UMNO.

Tapi Pas sendiri tidak rela melepaskan jawatan atau kerusi dimenangi di Terengganu kepada UMNO selepas Muafakat Nasional dibentuk. Malah rela tidak membubarkan DUN ketika Parlimen dibubar.

Apalagi selepas Pas mempunyai kerusi terbanyak iaitu 49 kerusi di blok PN berbanding Bersatu dan UMNO/BN dalam PRU-15. Agak-agak bolehkah mereka berlaku adil dalam ‘poligami politik’ ini?

Lalu, apakah Zahid pengkhianat atau penyelamat UMNO?

Mari kita tengok apa pula senario apabila UMNO/BN bersama PH walaupun di dalamnya ada DAP, musuh ketat UMNO sejak merdeka.

Dalam PH tiada pesaing UMNO. PH tidak ada parti Melayu yang dominan, yang ada cuma Amanah yang dikatakan duplikasi Pas, cuma tidak terlalu ekstrim dan dipimpin oleh mereka yang bukan bertaraf ulama atau ‘tok guru’.

Penyokong PKR kebanyakan mereka yang taksub dengan gerakan Reformasi yang diperjuang parti itu sejak Anwar dipenjarakan buat kali pertama 20 tahun lalu. Manakala sebahagian lagi percaya kepada formula Rafizi Ramli.

DAP juga adalah parti campuran walaupun ‘kecinaan’ mereka amat ketara walaupun mereka cuba meramaikan calon-calon PRU daripada orang Melayu, tetapi struktur kepimpinan parti itu masih didominasi oleh satu kaum.

DAP sedar mereka tidak akan dapat menjadi kerajaan jika tanpa sokongan orang Melayu. Sebab itulah mereka menjadi pemegang saham dalam penubuhan Amanah dan MUDA.

Namun PRU-15 menyaksikan mereka tetap gagal menguasai majoriti kerusi Parlimen, ekoran ketebalan semangat kemelayuan dan keislaman pengundi di Pantai Timur Semenanjung.

UMNO melihat ini satu peluang terbaik untuk mereka mengembalikan kekuatan parti, terutama sokongan orang bukan Melayu yang hampir 100 peratus menyokong PKR dan DAP sebelum ini.

UMNO tidak lagi boleh bergantung harap kepada MCA dan MIC yang dilihat sangat lemah. Mereka perlu bersama parti politik kaum bukan Melayu yang lebih kuat, iaitu DAP selain PKR.

Bagaimanapun, untuk mengembalikan kekuatan parti, UMNO terpaksa menggadaikan maruah dengan ‘bersujud’ di kaki DAP dan Anwar.

Anwar juga sedar tanpa UMNO beliau sukar untuk mencapai cita-cita menjadi PM. Beliau pernah mencuba melalui Pas, tetapi gagal.

Sebab itu Anwar dilihat mempergunakan UMNO untuk mencapai tujuan tersebut, setelah dia melihat UMNO semakin hilang taring sejak 2008.

UMNO/BN dalam PRU tahun 2008 kehilangan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain Wilayah Persekutuan.

Pada PRU14, UMNO/BN hanya menguasai tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang dan kemuncaknya pada PRU-15 lalu apabila UMNO/BN hanya tinggal 30 kerusi Parlimen dan hanya menguasai Melaka dan Johor, itupun menerusi PRN sebelum ini.

Justeru, apabila UMNO/BN bersama PH bermakna ketiga-tiga parti — PKR, DAP dan UMNO — saling memerlukan untuk menjadi sebuah kerajaan.

Tambahan pula dalam keadaan rakyat yang masih lagi dibelenggu kesusahan hidup lantaran pandemik COVID-19 yang melanda dan kemelesetan ekonomi, Malaysia memerlukan sebuah negara yang kukuh dan padu.

UMNO melihat hanya dengan berganding dengan PH sahaja mereka dapat membina negara yang kukuh segi politik setelah mengharungi keadaan terumbang-ambing sejak PRU-14 lalu.

UMNO pernah cuba bergandingan dengan PN dan Muhyiddin sebelum ini, namun mereka tidak berpuas hati. UMNO juga pernah membentuk Muafakat Nasional bersama Pas tetapi dikhianati.

Bersatu dan Pas juga pernah bersama PH namun kedua-dua parti itu juga mengkhianati kesepakatan yang dibentuk bersama.

Lalu, salahkah UMNO/BN mahu bersama PH ketika kedudukan parti itu semakin hilang sokongan dalam kalangan orang Melayu sendiri?

Fikir-fikirkanlah…

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan