25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Projek SSLR, LTB dimulakan awal tahun depan – PM

Kedua-dua projek mega itu bakal menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah melalui dua pilihan jaringan jalan raya.

Mesti Baca

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) bernilai RM10.62 bilion dijangka dapat dimulakan pembinaan, seawal tahun depan.

Menurut Perdana Menteri, kedua-dua projek mega bakal menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah melalui dua pilihan jaringan jalan raya.

Beliau berkata, pilihan pertama, pengguna jalan raya dari Miri ke Limbang dan Lawas boleh melalui negara Brunei Darussalam menggunakan laluan Projek LTB sepanjang 96 km yang bakal ditambah baik kepada dua lorong dua hala.

Manakala, pilihan kedua pula, pengguna jalan raya dari Miri boleh ke Limbang dan Lawas tanpa melalui Brunei Darussalam iaitu menggunakan jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326 km.

Ia merupakan kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sejauh 77 km.

“Dengan penelitian teknikal kini di peringkat akhir, kerajaan komited memulakan pembinaan Fasa 2 Projek SSLR dan Projek LTB seawal tahun hadapan dengan tempoh pembinaannya bakal memakan masa tiga hingga lima tahun.

Ismail Sabri dan Abang Johari diberi penerangan mengenai dua projek mega rangkaian jalan raya baharu di Sarawak.

“Projek mega ini yang melibatkan kos berjumlah RM10.62 bilion, membolehkan komuniti dan penduduk di Miri, Limbang dan Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Pembukaan Jalan Seksyen Selangau dan Pakej Kerja Jambatan Sungai-Jambatan Sungai Aripiaitu sebahagian daripada Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak di Selangau, Kuching, hari ini.

Hadir sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ismail Sabri berkata, Fasa 2 Projek SSLR khususnya bakal memberi manfaat kepada penduduk tempatan di sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada ‘jalan laluan balak’ sebagai jalan perhubungan utama.

Katanya, pelaksanaan kedua-dua projek mega tersebut di samping Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa mengambil berat terhadap pembangunan di Bumi Kenyalang.

“Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak merupakan bukti terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan membangunkan rangkaian jalan raya sedia ada secara lebih terancang, sistematik dan cekap bagi meningkatkan kesalinghubungan Keluarga Malaysia di Sarawak.

“Selari dengan hala tuju strategik Rancangan Malaysia Ke12 (RMKe-12) iaitu ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, projek tersebut akan memastikan pembangunan sosioekonomi dapat dilaksana dengan lebih baik bagi dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh Keluarga Malaysia
di negeri ini,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, projek tersebut merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik keseluruhan jajaran Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dari Telok Melano ke Lawas sepanjang 1,046 km.

Jelas beliau, keseluruhan jajaran itu dinaikkan taraf kepada empat lorong dua hala sepanjang 192 km di bawah rancangan pembangunan lima tahun negara manakala baki sepanjang 862 km akan dilaksanakan dalam dua fasa.

“Bagi Fasa 1, Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sepanjang 786 km yang dibahagikan kepada 11 Pakej Kerja dari Telok Melano ke Miri, kerja-kerja pembinaan kini pada tahap 89 peratus siap.

“Insya-Allah, ia bakal siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan,” kata Ismail Sabri. – Edisi 9

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan