31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

60 peratus Peranti Siswa sudah diedarkan – Ismail Sabri

22,265 permohonan dari Sarawak telah diluluskan dan 16,505 atau 70 peratus tablet telah diagihkan kepada mahasiswa yang layak.

Mesti Baca

LEBIH 220,000 atau 60 peratus daripada 350,000 permohonan Peranti Siswa yang diluluskan telah diedarkan kepada mereka yang layak sejak dilancar pada September tahun lalu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, daripada jumlah tersebut, sebanyak 22,265 permohonan dari Sarawak telah diluluskan dan 16,505 atau 70 peratus tablet telah diagihkan kepada mahasiswa yang layak.

Beliau berkata, inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia itu merupakan salah satu komitmen kerajaan untuk membangunkan infrastruktur digital di seluruh negara.

Katanya, ini bagi membolehkan akses infrastruktur digital berkualiti tinggi dan meluas dapat menjadi asas kepada transformasi ekonomi, sosial dan pembangunan tenaga kerja berkaitan.

“Justeru, kerajaan menyediakan Peranti Siswa untuk anak-anak Keluarga Malaysia bagi merapatkan jurang digital dengan menyediakan satu tablet bagi seorang mahasiswa yang berada dalam kelompok keluarga B40,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan Peranti Siswa yang diadakan serentak dengan perasmian Pembukaan Jalan Seksyen Selangau dan Pakej Kerja Jambatan Sungai-Jambatan Sungai Ari di Selangau, Sibu hari ini.

Hadir sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Perdana Menteri berkata, di bawah Bajet 2022, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM450 juta bagi melaksanakan inisiatif tersebut dan setiap pelajar yang layak akan menerima sebuah peranti berbentuk tablet secara percuma dan berjenama, berkualiti tinggi, mempunyai spesifikasi yang terkini dan disertakan jaminan daripada pengilang.

“Saya juga difahamkan bahawa sesi agihan turut dijalankan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada hari ini melibatkan lebih 400 mahasiswa di sekitar Sibu,” kata beliau. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan