24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Maritim gagalkan cubaan 44 PATI masuk perairan negara

Terdapat 39 penumpang lelaki dan empat penumpang perempuan berumur dalam lingkungan 19 hingga 49 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia berumur 12 tahun ditemukan sedang duduk berhimpit.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan sebuah bot kayu membawa 44 pendatang tanpa izin (PATI) termasuk tekong dan kru di perairan Tanjung Layang pada Isnin lalu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten V. Siva Kumar berkata, Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia di area control centre (ACC) Klang telah mengesan satu vesel yang mencurigakan dari perairan Indonesia bergerak memasuki perairan Malaysia pada jam lebih kurang 7.47 malam.

“Hasil maklumat itu, bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi untuk mengesan vesel tersebut.

“Sebaik tiba di lokasi, sebuah bot kayu berwarna merah berjalur biru dengan tanda nama SAFRI pada badan bot dikesan dalam keadaan mencurigakan sedang bergerak laju menuju ke Perairan Tanjung Layang.

“Menyedari kehadiran bot penguat kuasa, bot suspek bertindak cuba meloloskan diri bagi mengelak daripada diperiksa dan ditahan.

“Bot ronda Maritim Malaysia kemudiannya telah bertindak mengejar bot suspek hampir 10 minit sebelum berjaya ditahan pada sekitar jam 9.35 malam di kedudukan 0.5 batu nautika barat daya Tanjung Layang,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati, bot dikendalikan seorang tekong dan dua kru warga Indonesia berumur lingkungan 25 hingga 47 tahun, masing-masing tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati, terdapat 39 penumpang lelaki dan empat penumpang perempuan berumur dalam lingkungan 19 hingga 49 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia berumur 12 tahun ditemukan sedang duduk berhimpit di atas geladak dan di bawah dek tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Advertisements

“Berdasarkan soal siasat awal di lokasi, tekong difahamkan sedang mencari jalan masuk ke perairan yang terdekat bagi menurunkan kesemua PATI.

“Sindiket ini mengenakan caj sekitar RM 1,500 hingga RM 2,500 untuk membawa keluar dan masuk bagi setiap PATI bergantung kepada jarak lokasi.

“Daripada siasatan dipercayai kesemua PATI pernah bekerja di pelbagai sektor seperti pembersihan dan perladangan di Malaysia dan kemasukan ke Malaysia adalah untuk bekerja semula di sektor yang sama,” katanya.

Beliau berkata, bot dan kesemua suspek kemudiannya telah ditahan dan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan juga Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sebarang aduan dan perlakuan jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian 03-89434001 atau National Task Force (011-62511223). – Edisi 9


Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan