27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

11 sampel ‘baby nanas’ dikesan mengandungi siklamat

Siklamat adalah sejenis pemanis tanpa zat yang memberikan rasa manis 30-50 kali lebih daripada gula sukrosa.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan 11 sampel buah nanas kecil dikenali sebagai baby nanas mengandungi siklamat.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Norrani Eksan berkata, kes berkenaan telah disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM 8,500.

Menurutnya, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah meningkatkan pemantauan buah nanas di pasaran tempatan semenjak tahun 2017 dan bermula 2021 telah mengenakan pemeriksaan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) ke atas baby nanas (kulit berkupas) yang diimport masuk ke dalam negara.

“Sehingga kini, sebanyak 115 sampel buah nanas telah diambil bagi tujuan analisa pelbagai parameter. KKM akan meneruskan pemantauan ke atas buah nanas di semua pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan ianya mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“BKKM juga turut bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia bagi perkongsian data pemantauan nanas yang dijual di pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular isu buah nanas kecil yang viral di media sosial yang didakwa mengandungi bahan pemanis tanpa zat siklamat.

Menurut Norrani, baby nanas dan pernah viral pada tahun 2017 dan 2019 serta kenyataan akhbar berhubung perkara berkenaan pernah dikeluarkan pada 31 Mei 2019.

“Siklamat adalah sejenis pemanis tanpa zat yang memberikan rasa manis 30-50 kali lebih daripada gula sukrosa.

“Menurut Codex General Standard for Food Additives (GSFA), siklamat adalah dibenarkan ditambah dalam makanan tertentu seperti jem, jeli, dan marmalad, produk koko dan hasilan coklat termasuk sapuan koko dan coklat sebatian serta minuman berperisa.

“Namun siklamat tidak dibenarkan ditambah di dalam buah buahan segar termasuk yang telah dikupas atau sedia dimakan. Peraturan-Peraturan Makanan 1985 turut tidak membenarkan penambahan siklamat pada buah-buahan segar,” katanya.

Ujarnya lagi, Seksyen 13(B) Akta Makanan 1983 memperuntukkan tiada seorang pun boleh menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang diadukkan dengan mengandungi apa-apa bahan penambahannya tidak dibenarkan di bawah Akta Makanan 1983 atau peraturan-peraturan di bawahnya.

“Sesiapa yang didapati melanggar peruntukan ini adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Oleh itu peniaga diingatkan tidak mengadukkan atau menjual buah “baby nanas” yang terdapat siklamat.

Menurutnya, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Sekiranya pengguna mempunyai kemusykilan berhubung isu buah baby nanas tersebut, pengguna boleh

menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan