30 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 23, 2024

Kita tutup satu episod, pandang ke hadapan – Annuar

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

“KITA tutup dulu satu episod dan kita pandang ke hadapan serta menghitung langkah seterusnya,” kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Spekulasi yang sebelum ini beberapa nama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), termasuk Annuar akan digugurkan dan tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) oleh pucuk pimpinan parti, telah diketahui malam tadi.

“Alhamdulillah, baru jelas setelah mendengar sendiri keputusan yang mereka buat dan umumkan sebentar tadi (malam tadi).

“Sebelumnya agak samar kerana langsung tak dirujuk, jauh sekali dari dirundingi seperti mana tertulis di dalam perlembagaan parti. Apa pun, kita terima seadanya dan berlapang dada,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook.

Jelas Annuar yang merupakan penyandang Parlimen Ketereh, ketika mengimbau kemenangan PRU-14 dahulu, lebih 25,000 telah mengundinya di Parlimen Ketereh.

“Ahli UMNO Ketereh cuma 14,000. Bererti lebih dari 11,000 undi datangnya dari kalangan bukan ahli UMNO.

“Kesemuanya amat saya hargai. Ia memenuhi aspirasi saya yang mahu melihat ahli UMNO dan bukan ahli UMNO terutama kalangan ahli Pas supaya kekal bersatu padu dan menjunjung semangat Muafakat Nasional yang kita bersama perjuangkan.

“Untuk perjalanan seterusnya elok saya tinjau pendirian jentera akar umbi saya, serta sentimen rakyat yang mengangkat saya.

Advertisements

“Elok saya serahkan diri saya kepada rakyat dan biar rakyat tentukan perjalanan seterusnya. Pastinya jangan dibiarkan cabaran tidak bersahut, tikaman tidak bertepis, fitnah tidak berjawab dan hutang tidak berbayar.

“Elok dahulukan berfikir dengan akal yang panjang, kemudian bolehlah nanti kita bertindak dengan jiwa yang tenang dan dada yang lapang Insya-Allah.

“Kepada kawan-kawan yang bertubi-tubi dan ramai sekali memberi kata semangat di dalam perjuangan, saya ucapkan ribuan terima kasih dan mohon bertenang,” katanya.

Nama Annuar digugurkan daripada senarai calon yang diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Kerusi itu diisi oleh Marzuani Ardila yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Ketereh.

Pada PRU-14, Annuar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh dengan meraih majoriti 4,626 undi menewaskan calon Pas, Wan Ismail Wan Jusoh dan calon PKR, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Annuar memperoleh undian sebanyak 25,467, Pas (20,841) dan PKR (6,799). – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mana mungkin saya berkomplot khianati parti UMNO – Nizar Najib

"MANA mungkin saya akan berkomplot untuk mengkhianati parti yang keluarga saya perjuangkan bersama-sama orang UMNO yang lain sejak ia...

Lagi Artikel Berkaitan