34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

VSN2030 perancangan baharu pembangunan sukan negara

Beri nafas baharu buat arena sukan negara dengan konsep 'Daripada Komuniti Kepada Komuniti' melibatkan seluruh Keluarga Malaysia.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

VISI Sukan Negara 2030 (VSN2030) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini akan menjadi hala tuju dan perancangan baharu pembangunan sukan negara yang dipetakan secara komprehensif, bersepadu dan kolektif bagi tempoh 10 tahun.

Menurut Perdana Menteri, VSN2030 akan memberikan nafas baharu buat arena sukan negara dengan konsep ‘Daripada Komuniti Kepada Komuniti’ melibatkan seluruh Keluarga Malaysia.

“Ia juga meneruskan legasi sukan sebagai alat perpaduan yang ampuh dalam masyarakat serta melahirkan jaguh-jaguh berkelas dunia dan akan menjadi dokumen rasmi kerajaan dalam pembangunan sukan tanah air,” katanya ketika melancarkan VSN2030 sempena Hari Sukan Negara Tahun 2022 (HSN2022) di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ismail Sabri berkata, VSN2030 merupakan sebuah dokumen dasar yang berkonsepkan pendemokrasian sukan dengan keterbukaan untuk menerima pandangan dan suara semua pihak.

“Dokumen ini akan sentiasa diteliti dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan dalam memacu industri sukan Malaysia untuk terus gemilang sehingga tahun 2030,” katanya.

Perdana Menteri merasmikan Hari Sukan Negara 2022 di Putrajaya.

Ismail Sabri dalam pada itu turut meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berusaha meningkatkan lagi pembudayaan dan pencapaian sukan melalui beberapa usaha proaktif.

“Antaranya adalah dengan menawarkan biasiswa dan peluang melanjutkan pelajaran kepada atlet-atlet yang cemerlang dan berjaya memenangi pingat bermula dari peringkat temasya Sukan Malaysia (Sukma) dan kejohanan peringkat antarabangsa yang diiktiraf oleh kerajaan.

“Bekas atlet yang berkemahiran pula dipertimbangkan sebagai Jurulatih Pendidikan Jasmani dan dilibatkan dalam inisiatif pencarian bakat sukan di peringkat akar umbi melalui program My Talent Identification (MyTID).

“Menaik taraf fasiliti-fasiliti sukan bagi meningkatkan akses kepada kemudahan sukan dan secara tidak langsung meningkatkan penglibatan Keluarga Malaysia untuk bergiat aktif dalam aktiviti bersukan,” katanya.

Advertisements

Ismail Sabri berkata, semakan dan pewartaan semula Jadual Pertama di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997, iaitu jenis-jenis sukan yang tersenarai akan ditingkatkan dan sukan elektronik juga akan turut disenaraikan.

Ujar beliau, kerajaan sentiasa komited membangunkan industri sukan menerusi pelbagai pakej bantuan prihatin agar pemain industri dalam bidang sukan dapat terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Mengenai HSN2022, beliau berkata, program itu menyasarkan penglibatan seramai 4.5 juta Keluarga Malaysia dalam aktiviti sukan yang dianjurkan, dengan pelaksanaannya adalah secara menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi.

“HSN2022 juga dilaksanakan dengan kerjasama strategik pemegang taruh dan rentas kementerian serta agensi bagi menganjurkan aktiviti sukan, rekreasi dan kecergasan, serta melibatkan golongan profesional, pempengaruh sosial, pemain industri sukan, atlet dan ikon sukan untuk menarik penglibatan rakyat dalam aktivti yang dianjurkan.

Menurutnya, HSN pada tahun lepas melibatkan lebih 2.6 juta peserta, dan ia merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan meskipun negara masih berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19.

Ismail Sabri berkata, HSN telah meletakkan aktiviti sukan dan riadah sebagai satu medium bagi menerapkan gaya hidup aktif dan cergas sepanjang hayat dalam kalangan Keluarga Malaysia seperti yang dihasratkan dalam Dasar Sukan Negara.

“Marilah kita bersama-sama menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan dengan sasaran sekurang-kurangnya dua per tiga rakyat Malaysia bersenam dan aktif bersukan sekurangnya lima sesi seminggu dan 30 minit setiap sesi,”katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur 2022 sedang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil yang merupakan sebuah ekspo sukan merangkumi pelbagai acara sukan dalam satu masa dan tempat.

Beliau berkata, ekspo berkenaan menjadi satu daripada platform utama untuk menonjolkan potensi, impak besar dan sumbangan industri sukan terhadap pembangunan ekonomi dan pendapatan negara.

“Segala komitmen kerajaan ini menandakan keprihatinan yang tinggi dalam membantu pemain industri sukan menjana ekonomi negara melalui pengoperasian, sokongan dana, penganjuran program di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan