Thursday, June 4, 2026

Kerjasama dengan UMNO: Pas perlu buat keputusan tepat

Apa pun yang nak diputuskan oleh parti Pas kita terima, saya boleh sebut dengan hati yang senanglah sekiranya Pas memilih untuk bersama MN - Mahdzir Khalid

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PAS perlu membuat keputusan yang tepat iaitu bekerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau akan berasa senang hati jika Pas dapat menyatakan pendirian untuk bersama UMNO demi penyatuan dan perpaduan ummah dalam MN.

“Apa pun yang nak diputuskan oleh parti Pas kita terima, saya boleh sebut dengan hati yang senanglah sekiranya Pas memilih untuk bersama dengan UMNO atas nama Muafakat Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Padang Terap hari ini.

Sebelum ini tambah Mahdzir, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi membincangkan perkara dan ketetapan berhubung kerjasama dalam MN untuk menghadapi PRU-15.

“Saya rasa dalam perbincangan itu sudah dinyatakan ketetapan yang paling sesuai untuk UMNO, kita buat ketetapan seumpama itu sekiranya Pas bersetuju.

Mahdzir Khalid bersama sebahagian ahli Puteri UMNO semasa merasmikan secara serenta Mesyuarat Wanita, Pemuda, Puteri UMNO Bahagian Padang Terap hari ini.

“Pas pula kata mereka akan fikirkan, tengok sesuai atau tidak, tapi Pas punya penekanan juga berkaitan dengan perpaduan yang dianjurkan (mereka), mereka pun mensyorkan kepada perpaduan,” katanya.

Jelas Mahdzir, jika Pas memilih untuk bersama UMNO, Jawatankuasa Perundingan UMNO dan Pas yang diwujudkan sebelum ini bagi membincangkan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti boleh diaktifkan semula.

“Jawatankuasa perundingan itu sudah ada dari dulu lagi cuma terhenti apabila tak jadi (kerjasama) dan masing-masing bawa diri, jadi tak ada bermesyuarat, tapi sekiranya jadi (kerjasama) jawatankuasa itu boleh mula balik.

“Sebab (kita) dah ada formula dan struktur apa dan bagaimana yang perlu dibuat (untuk pembahagian kerusi), misalnya kawasan ini macam mana, semua itu sudah ada cuma kena bersidang balik,” katanya.

Ditanya mengenai Bajet 2023 yang disifatkan sebagai manifesto Barisan Nasional (BN) bagi PRU-15, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, bajet itu dibentang secara kebetulan ketika isu pembubaran Parlimen dan PRU-15.

“Bajet ini (urusan) kerajaan, pilihan raya datang pada waktu mana genap sampai waktu dia (bubar), jadi kebetulan ada bajet dibentang masa itu kerana bajet macam mana sekali pun kena buat tiap-tiap tahun.

“Sebahagian daripada yang diumumkan dalam Bajet 2023 memang daripada manifesto dalam parti, saya ingat lagi Perdana Menteri juga umumkan beberapa perkara yang ada dalam bajet ini termasuk ketika Perhimpunan Agung UMNO,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan