25.3 C
Kuala Lumpur
Monday, February 10, 2025

Ibu maut tersepit, 3 termasuk bayi cedera kereta langgar pokok

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEORANG wanita maut manakala suami dan dua anak termasuk seorang bayi cedera setelah kereta dinaiki terbabas sebelum melanggar pokok dalam kejadian di Persiaran Raja Muda, Seksyen 3 di Shah Alam, Selangor hari ini.

Kereta yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 43 tahun itu membawa tiga penumpang iaitu isterinya berumur 29 tahun, seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun dan seorang bayi lelaki berumur lapan bulan ketika kejadian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada pukul 2.11 petang.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul pukul 2.19 petang.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dipercayai terbabas sendiri sebelum melanggar pokok di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisements

Katanya, salah seorang mangsa iaitu wanita berumur 29 tahun maut dalam kejadian.

“Pemandu kenderaan tersebut mengalami kecederaan di bahagian pinggang manakala seorang kanak-kanak perempuan dan bayi lelaki mengalami cedera ringan.

“Mangsa yang maut dipercayai tersepit di bahagian tempat duduk penumpang hadapan sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba yang terlibat,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut,” katanya.-Edisi 9

Advertisements

Terkini

Richiamo jalin kerjasama dengan De Xandra, Rico Rinaldi

RICHIAMO Coffee Sdn Bhd mengumumkan kerjasama dengan pengeluar pewangi kenderaan, De Xandra serta pereka fesyen dan pengeluar pakaian terkenal...

Lagi Artikel Berkaitan