26 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tol percuma DASH selama sebulan mulai tengah malam ini – PM

Kerajaan juga telah bersetuju dengan cadangan untuk penstrukturan semula empat buah syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian PROLINTAS dan mengurangkan kadar tol bagi lebuh raya terlibat.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

LEBUH Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam  (DASH) yang akan dibuka mulai pukul 12.01 tengah malam ini (14 Oktober) dan tol akan diberikan secara percuma selama sebulan.  

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kerajaan juga telah bersetuju dengan cadangan untuk penstrukturan semula empat buah syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian PROLINTAS dan mengurangkan kadar tol bagi lebuh raya terlibat.

“Lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang – KL (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK). Ia akan berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam 20 Oktober ini.

“Manakala, pengurangan kadar tol bagi Lebuh Raya LEKAS dan BESRAYA di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pembukaan Rasmi DASH di Plaza Tol Denai Alam di Shah Alam, Selangor, hari ini.

Ismail Sabri ketika berucap sempena Majlis Pembukaan Rasmi DASH di Plaza Tol Denai Alam di Shah Alam, Selangor, hari ini.

Selain itu, dalam usaha menampung trafik yang tinggi serta menangani masalah kesesakan lalulintas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong, Ismail Sabri berkata, Kerajaan akan membina lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah.

Menurut beliau, pada masa yang sama, kerja-kerja tebatan banjir di lebuhraya LPT1 juga akan dilaksanakan susulan daripada kejadian banjir yang seringkali berlaku di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).

“Kesemua kerja-kerja penambahbaikan yang telah saya maklumkan sebentar tadi, mengambilkira penstrukturan semula kadar tol dengan perjanjian konsesi tambahan sedang dimuktamadkan.

“Melalui penstrukturan terbaharu ini, Kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM8.8 bilion anggaran dalam bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi yang terlibat.

Malah menurut Perdana Menteri lagi, pengguna lebuh raya bakal pula dapat menikmati kadar tol yang lebih rendah sekali gus dapat meringankan beban kos sara hidup.

“Saya menasihati pengguna lebuh raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu bagi mengelakkan kemalangan dan sentiasa memastikan kenderaan masing-masing dalam keadaan baik.

Dalam pada itu, beliau meluahkan rasa bangga apabila melihat banyak projek berimpak tinggi seperti Lebuhraya DASH menjadi satu realiti kerana ia bakal memberi kemudahan dan juga manfaat kepada Keluarga Malaysia.

Advertisements

Menurut beliau, projek Lebuhraya DASH berkenaan merupakan salah satu daripada 53 buah projek berimpak tinggi dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan, menjana limpahan perniagaan dan merangsang serta menyediakan banyak kegiatan ekonomi yang lebih berdaya maju.

“Menerusi pembinaan Lebuhraya DASH, sejumlah 12,000 peluang pekerjaan dicipta membabitkan pengurusan, kejuruteraan, teknikal, pembantu barisan hadapan dan pekerja kontrak.

“Lebuh raya ini yang mula dibina sejak Ogos 2016 dan siap 30 September lepas, mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi strategik seperti di sepanjang Persiaran Mokthar Dahari, Jalan Sungai Buloh dan Persiaran Surian sehingga 40 peratus ketika waktu puncak.

Malah menurut beliau, tempoh perjalanan juga dijangka dapat dijimatkan kepada 30 minit pada waktu puncak dari Persimpangan Puncak Perdana ke Persimpangan Penchala berbanding dengan laluan sedia ada yang mengambil masa selama satu jam 30 minit.

“Lebuhraya DASH merupakan laluan alternatif kepada pengguna di sebelah barat, Shah Alam untuk melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur, sekali gus mengurangkan kesesakan, tempoh perjalanan dan menyuraikan trafik secara lebih berkesan. Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

“Untuk makluman, pembinaan Lebuhraya DASH juga menerapkan elemen-elemen kelestarian selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Ujar Ismail Sabri lagi, Lebuhraya DASH juga memenuhi kriteria yang ditetapkan di bawah Indeks Lebuh Raya Hijau Malaysia (MyGHI) yang merangkumi segenap rantaian nilai pembangunan infrastruktur serta mengambil kira faktor alam sekitar dengan penarafan tahap ‘Gold’.

“Tahniah saya ucapkan! Penghadang bunyi kepungan penuh turut dipasang sepanjang 260 meter bagi mengelakkan gangguan bunyi daripada kenderaan kepada penduduk sekeliling.

“Pembangunan industri lebuh raya memainkan peranan besar dalam usaha membangunkan negara terutamanya daripada aspek ekonomi dan infrastruktur dengan wujudnya kawasan-kawasan pembangunan baharu pada sepanjang jajaran lebuh raya,” katanya.

Lebuhraya DASH juga menurut beliau dijangka mampu merangsang pembangunan dan pertumbuhan kawasan-kawasan ekonomi seperti perumahan dan komersial baharu di sepanjang lebuh raya termasuk Puncak Alam, Elmina dan Kwasa Damansara.

“Justeru, Kerajaan menyokong penuh usaha dan komitmen berterusan syarikat konsesi dalam merancakkan pembangunan infrastruktur negara, sekali gus membuktikan keberkesanan projek Perkongsian Awam Swasta (Public Private Partnership atau – PPP) antara pihak PROLINTAS dan Kerajaan,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Pemuda UMNO gesa ‘haramkan’ Prof Gilley masuk Malaysia

PEMUDA UMNO Malaysia hari ini mendesak kerajaan mengharamkan seorang ahli akademik pro-zionis Israel, Bruce Gilley daripada memasuki negara ini. Ketuanya,...

Lagi Artikel Berkaitan