30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Najib kekal antara calon di Pekan, tiada nama anak Najib

Zamri bagaimanapun enggan mendedahkan empat nama selain Najib yang menawarkan diri bertanding di Pekan pada PRU-15 ini.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

UMNO Bahagian Pekan mengesahkan tiada nama anak Datuk Seri Najib Razak dihantar untuk dipilih sebagai calon kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) depan.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly mengesahkan daripada lima nama yang dihantar kepada pusat untuk memilih calon tiada nama anak bekas Perdana Menteri bergelar banduan tersebut.

“Tidak ada perancangan meletakkan anak Datuk Seri Najib untuk bertanding di Parlimen Pekan jika beliau tidak layak bertanding,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Zamri menjelaskan sebaliknya kerusi Pekan akan dipulangkan semula kepada Najib selepas mendapat pengampunan.

“Sebaliknya, sesiapa yang dipilih bertanding di situ nanti akan menyerahkan kembali kerusi Parlimen Pekan kepada Datuk Seri Najib selepas mendapat pengampunan,” katanya lagi.

Zamri bagaimanapun enggan mendedahkan empat nama selain Najib yang menawarkan diri bertanding di Pekan pada PRU-15 ini.

Namun, Zamri memberitahu anak lelaki Najib, Datuk Mohd. Nizar dicalonkan tetapi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang membabitkan Chini, Bebar, Peramu Jaya dan Pulau Manis.

Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Terdahulu, Edisi9 melaporkan menjelang PRU-15, kerusi Parlimen Pekan yang begitu sinonim dengan keluarga Najib pasti mencuri tumpuan.

Apa yang pasti dua nama anak Najib disebut-sebut untuk dicalonkan di Parlimen Pekan iaitu Nooryana Najwa dan Datuk Mohd. Nizar yang dikatakan bakal menjadi pelapis kepada Najib.

Bagaimanapun, spekulasikan berkenaan terjawab apabila UMNO Bahagian Pekan mengesahkan hanya nama Najib sahaja yang dihantar untuk calon kerusi Parlimen Pekan dan tiada nama Yana mahupun Nizar.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan