28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Nasib Annuar, Tajuddin, KJ diketahui esok

Mesti Baca

UMNO dijangka mengumumkan senarai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-13) esok.

Menjelang pengumuman tersebut sudah tentu tumpuan diberikan kepada beberapa nama yang sebelum ini agak ‘kontroversi’.

Antara nama yang menjadi perhatian ialah penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Kedua-dua individu tersebut antara paling lantang mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan dilihat ‘mesra’ dengan Bersatu.

Beberapa hari lalu, Zahid pernah memberi bayangan bahawa mereka yang ‘berkepala besar’ dan bersuara sumbang terhadap kepimpinan parti sendiri tidak akan mendapat tempat dalam PRU-15 kali ini.

“UMNO memerlukan wakil rakyat yang terpilih nanti mempunyai jati diri UMNO yang teguh. Tidak mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang sentiasa mahu proksi memperkotak-katikkan UMNO menggunakan suara pemimpin dalaman UMNO,” tegas Pengerusi BN itu.

Turut menjadi tumpuan ialah kedudukan penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan ‘otai’ Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Menteri Kesihatan itu telah diminta melepaskan kerusi tersebut kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang akan bertanding di peringkat Parlimen buat kali pertama.

Sehingga hari ini, Khairy masih belum ketahui kerusi yang akan beliau tandingi dan menyerahkan ‘nasibnya’ kepada pucuk pimpinan parti.

Bagaimanapun, bekas Ketua Pemuda UMNO itu dilihat berpeluang untuk bertanding dalam PRU-15 memandangkan beliau mengambil sikap tidak berkonfrantasi dengan Zahid.

Beliau juga dianggap ahli politik muda yang berbakat, berkarisma dan mempunyai pengaruh yang besar terutama dalam kalangan orang muda.

Dikhabarkan Khairy akan diletakkan bertanding di Sungai Buloh iaitu kerusi tradisi MIC, manakala wakil MIC pula akan mengambil kerusi Parlimen Batu.

The Malaysian Insight yang memetik sumber Barisan Nasional (BN) melaporkan yang Khairy sah akan bertanding di Sungai Buloh.

“Ya, sah KJ tanding di Sungai Buloh. Perkara ini telah dimuktamadkan,” lapor media tersebut.

Tengku Razaleigh dijangka tidak dicalonkan kali ini selepas mempertahankan kerusi Gua Musang sejak tahun 1974 dan menjadi satu-satunya Ahli Parlimen paling lama di Malaysia.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said disahkan akan bertanding di Parlimen Kemaman.

Inilah kali pertama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu bertanding di peringkat Parlimen.

Sumber Edisi 9 telah mengesahkan perkara tersebut namun enggan mengulas lanjut.

“Ya, Ahmad Said akan bertanding di Kemaman,” kata sumber tersebut malam ini.

Apapun, siapa yang akan bertanding, digugurkan atau bertukar kerusi hanya akan diketahui apabila pengumuman mengenainya dibuat esok.

Sama-sama kita tunggu!

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan