25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Kuatkuasa pemeriksaan keluar masuk pelawat Sabah-Labuan

Penguatkuasaan pemeriksaan ini adalah selaras dengan keperluan untuk meningkatkan aspek keselamatan dan kawalan sempadan di Sabah.

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JABATAN Imigresen Malaysia akan menguatkuasakan pemeriksaan terhadap pengembara antara Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah bermula Selasa.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pemeriksaan secara rawak sebelum ini tidak lagi boleh diguna pakai untuk mengukuhkan keselamatan sempadan Sabah.

“Penguatkuasaan pemeriksaan ini adalah selaras dengan keperluan untuk meningkatkan aspek keselamatan dan kawalan sempadan di Sabah.

“Pada masa ini pemeriksaan hanya dijalankan secara rawak bagi pergerakan keluar masuk pelawat antara WP Labuan dan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Khairul Dzaimee, arahan penguatkuasaan itu selaras dengan permintaan kerajaan negeri Sabah yang mahukan pemeriksaan imigresen terhadap pelawat yang memasuki negeri berkenaan melalui Labuan.

“Pemeriksaan keluar dan masuk dari Labuan ke Jeti Jesselton Point dan Jeti Tanjung Pagar akan diadakan di Terminal Feri Antarabangsa Labuan.

“Manakala pemeriksaan masuk pelawat dari Labuan ke Jeti Menumbok akan diadakan di Jeti RO-RO Labuan dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan,” jelasnya.

Beliau berkata, semua kategori pelawat perlu menjalani pemeriksaan sebelum keluar atau masuk melalui Labuan.

“Pelawat yang disekat masuk atau keluar dengan arahan dari pihak berkuasa Sabah perlu memohon Surat Kemudahan Pelepasan bagi tujuan pergerakan.

Bagaimanapun, katanya, beberapa pengecualian akan diberikan khususnya kepada warganegara yang menetap di Labuan dan berulang alik ke Sabah untuk tujuan bekerja.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan