28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Ejen Mossad: Ahmad Zahid gesa hantar nota bantahan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Luar Negara wajar mengemukakan nota bantahan kepada negara Israel susulan laporan yang mengatakan terdapat penglibatan ejen perisikan Israel di Malaysia.

Dalam masa sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu kementerian membawa isu ini ke medan antarabangsa.

“Kementerian perlu mengutuk sekeras-kerasnya penglibatan haram negara Israel yang melakukan tindakan ‘terrorisme’ di Malaysia,”katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, baru-baru ini kecoh isu penglibatan ejen perisikan dari Israel masuk ke Malaysia dan menculik warga Palestin yang berada di negara ini.

“Isu ini sangat serius kerana membabitkan negara asing terutamanya negara Israel yang sememangnya Malaysia tidak ada hubungan diplomatik.

“Israel merupakan musuh kepada negara luar kerana dasar kezaliman dalam isu hak asasi manusia dan bukan soal agama semata-mata.

“Tindak tanduk Israel dalam isu penculikan tersebut jelas tidak menghormati kedaulatan negara Malaysia. Malah dari satu segi seolah-seolah mencabar kedaulatan negara dan merupakan ancaman kepada negara kita.

“Bayangkan orang awam biasa yang tidak berdosa boleh tercedera atau berlakunya kematian dengan operasi haram di negara kita, jika berterusan menjalankan operasi haram mereka,” katanya.

Advertisements

Ahmad Zahid berkata, ini juga bermakna Israel mempunyai aset risikan di negara ini dan harus dibanteras segera.

“Justeru, aspek kawalan keselamatan dari pelbagai akibat ancaman Israel terhadap pemimpin pejuang Palestin di negara ini perlu dipertingkatkan,” katanya.

Dalam masa sama, kata beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga perlu membuat kenyataan yang lebih menyeluruh dan bukan hanya di peringkat baru meneliti.

“Hal ini kerana KDN mempunyai mekanisme yang efisien dalam sistem keselamatan negara.

“Sudah tentu 32 juta rakyat Malaysia sedang tertunggu-tunggu langkah kerajaan bagi menangani situasi ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang dan pihak yang terlibat dengan perisikan asing yang berniat jahat diambil tindakan yang tegas tanpa kompromi.

“Setinggi-tinggi syabas diucapkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjaya menumpas perculikan warga asing oleh agen perisikan asing,” katanya.

Ujar beliau, penegasan aspek keselamatan dan kedaulatan negara amat penting bagi memastikan tidak ada negara berani melakukan provokasi dan membuat onar di negara kita.

“Semoga pembentukan kerajaan yang baharu nanti akan mempunyai peneraju kementerian yang lebih cekap dan proaktif,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan