24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

BNM lancar Kempen e-Duit galak guna kaedah e-pembayaran

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BANK Negara Malaysia (BNM) melancarkan Kempen e-Duit yang menekankan kepada aspek pendidikan bagi memastikan duit milik pengguna terus terjaga dan selamat semasa menggunakan e-pembayaran.

Timbalan Gabenor, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, berkata, kempen itu dengan slogan ‘Selamat, Senang, Segera’ akan dilaksanakan secara berterusan bagi tempoh lima tahun selaras dengan aspirasi Pelan Sektor Kewangan 2022–2026.

Menurutnya, BNM komited untuk terus memacu penggunaan e-pembayaran di Malaysia yang mana Pelan Sektor Kewangan tersebut yang dilancarkan awal tahun ini menyasarkan purata kadar peningkatan tahunan e-pembayaran melebihi 15 peratus bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Selaras dengan aspirasi ini, BNM dan industri pembayaran akan memastikan ketersediaan dan akses kepada instrumen e-pembayaran yang pelbagai seperti kad pembayaran, pembayaran atas talian dan kod QR pada kos yang kompetitif,” katanya pada majlis pelancaran Kempen e-Duit dan logo rasmi program iTEKAD, hari ini.

Abdul Rasheed berkata, hasil gabungan usaha kerajaan dan industri pembayaran, penggunaan e-pembayaran telah berjaya merekodkan pertumbuhan kukuh di bandar dan juga di luar bandar.

“Berdasarkan laporan Global Findex 2021 oleh Bank Dunia, dianggarkan sebanyak 79 peratus golongan dewasa di Malaysia telah menggunakan pembayaran secara digital atau e-pembayaran semasa pandemik COVID-19.

Advertisements

“Bagi memberikan manfaat tambahan kepada pengguna, usaha juga sedang giat dijalankan bagi melaksanakan kemudahan pembayaran rentas sempadan,”katanya.

Sementara itu, mengenai program iTEKAD, Abdul Rasheed berkata, lima institusi kewangan baharu telah menyertainya menjadikan setakat ini secara keseluruhannya lapan buah bank bagi pelaksanaan program itu di seluruh negara.

Institusi kewangan terbabit ialah RHB Islamic Bank Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) dan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank).

“Program iTEKAD telah menunjukkan prestasi perniagaan yang membanggakan, dengan 95 peratus usahawan iTEKAD menjalankan jualan secara dalam talian dan 48 peratus berjaya menjana nilai jualan bulanan melebihi RM4,000.

“Selain itu, 45 peratus usahawan berupaya menyimpan sekurang-kurangnya RM2,000 secara konsisten pada setiap bulan dan 90 peratus usahawan berjaya mengekalkan sekurang-kurangnya tiga orang pekerja walaupun berhadapan dengan persekitaran perniagaan yang mencabar,”katanya.

iTEKAD merupakan salah satu program di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi membantu usahawan mikro khususnya daripada golongan B40 dan Asnaf yang terjejas akibat pandemik COVID-19. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan