30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Kecekapan tadbir urus berjaya keluarkan negara daripada kemelut

Prestasi ekonomi negara kini terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERJASAMA Keluarga Malaysia serta kecekapan tadbir urus kerajaan membolehkan negara keluar daripada kemelut ekoran pandemik Covid-19 dan krisis geopolitik global, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, menurut Perdana Menteri, kerajaan akan terus memberi fokus kepada pemulihan ekonomi negara dan sehingga kini menampakkan pertumbuhan yang semakin baik.

Menurut beliau, ini terbukti apabila prestasi ekonomi negara kini terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua berbanding 5.0 peratus pada suku pertama tahun 2022.

“Kerajaan juga berjaya mengembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh. Kadar pengangguran pada bulan Ogos 2022 iaitu 3.7 peratus jauh lebih rendah berbanding Ogos 2021 iaitu 4.6 peratus.

“Alhamdulillah, Malaysia juga diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 negara dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022 yang mengukur kedamaian global di dunia,” kata Ismail Sabri.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Aspirasi Jelajah Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Pahang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, Kuantan hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Ismail Sabri berkata, usaha-usaha pemulihan ekonomi yang dilaksanakan juga telah memberi impak positif kepada negeri-negeri di Pantai Timur termasuk negeri Pahang.

Ismail Sabri Yaakob menghadiri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kuantan, Pahang hari ini.

Beliau berkata, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM5.3 bilion ke negeri ini yang akan mewujudkan lebih 3,300 peluang pekerjaan baharu tahun ini.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata, kadar inflasi negara juga mencatatkan penurunan kepada 4.5 peratus pada bulan September 2022 berbanding 4.7 peratus pada bulan Ogos 2022.

Beliau berkata, kadar tersebut lebih rendah berbanding negara serantau dan negara lain iaitu Zon Euro sebanyak 10.0 peratus, Amerika Syarikat (8.2 peratus), Thailand (6.4 peratus), Filipina (6.9 peratus) dan Korea Selatan sebanyak 5.6 peratus.

Katanya, bagi mengurangkan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia, kerajaan telah menyalurkan subsidi sebanyak RM77.7 bilion iaitu yang terbesar dalam sejarah negara.

“Daripada jumlah itu, subsidi untuk petrol, diesel dan LPG sebanyak RM41.7 bilion; subsidi minyak masak paket 1 kg dan minyak botol sebanyak RM3.0 bilion; subsidi bil elektrik sebanyak RM5.8 bilion; bantuan-bantuan lain seperti tunai, pendidikan, pengangkutan dan pertanian sebanyak RM25.7 bilion dan kepenggunaan lain-lain sebanyak RM1.5 bilion,” katanya.

Bagj negeri Pahang, Ismail Sabri berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.215 bilion bagi menyelesaikan masalah berkaitan bekalan air di Pahang dengan melibatkan pembinaan dua loji rawatan air baharu.

“Sejumlah RM1.215 bilion akan dibelanjakan untuk pembinaan dua loji rawatan air baharu, lima projek penambaikan loji rawatan air dan muka sauk.

“Tujuh projek pembinaan tangki air untuk sistem agihan dan satu Program Non Revenue Water (NRW) bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Pahang,” katanya.

Advertisements

Beliau berkata, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.307 bilion untuk menaik taraf dan menyelenggara jalan persekutuan di Pahang, sekaligus akan membuka kawasan baharu dan merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

“Sebanyak RM572.8 juta juga telah diperuntukkan bagi projek-projek pembinaan dan menaik taraf jambatan serta jejantas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan Keluarga Malaysia Pahang.

Katanya, kerajaan juga komited dalam melaksanakan Pakej Central Spine Road (CSR) sepanjang Kuala Krai, Kelantan ke daerah Bentong sejauh 350 kilometer tanpa tol dengan kos projek sebanyak RM8.7 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.

Dalam sektor pendidikan di Pahang pula, beliau berkata, terdapat 40 projek baharu dan sambungan sekolah serta institusi pendidikan dengan kos RM754 juta di bawah Rolling Plan Kedua RMK- 12 Tahun 2022.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 13
projek telah siap sepenuhnya, 18 projek sedang dalam peringkat pelaksanaan dan 9 projek berstatus prabina.

“Sementara itu, dalam bidang kesihatan, sebanyak dua buah Klinik Kesihatan juga sedang dibina dengan Kuarters Bandar Raub dan Kuala Triang, Bera dengan peruntukan sebanyak RM40 juta yang dijangka siap tahun hadapan.

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pula telah memperuntukkan sebanyak RM3.32 bilion bagi 101 buah projek pembangunan di Pahang dengan pecahan 39 projek baharu dan 62 projek sambungan untuk keselesaan Keluarga Malaysia.

“Di bawah KPLB, sebanyak 60 unit rumah dibina dan 2,250 unit dibaik pulih (keseluruhan sebanyak 2,310 unit) di bawah Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia, melibatkan peruntukan sebanyak RM36 juta, yang memberi manfaat kepada lebih 11,500 ahli isi rumah luar bandar, “katanyna.

Ismail Sabri berkata, bagi membantu golongan berpendapatan rendah di Pahang, sebanyak 12,444 unit rumah di bawah Program Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah siap dibina.

“Sementara, sebanyak 2,171 unit dalam pembinaan dan 3,905 unit lagi dalam perancangan, menjadikan keseluruhan
sebanyak 18, 520 unit,” katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, bagi menghadapi monsun timur laut, sebanyak RM1.8 billion turut disediakan di bawah projek tebatan banjir dan baik pulih hakisan pantai.

“Ia termasuklah di Kampung Tanjung Batu,Pekan dan Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting Mukim Pelangai di Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam Bandar Bera.

“Terdapat projek perintis kawalan hakisan dan kelodak di kawasan bercerun Cameron Highlands yang melibatkan kos RM6.07 juta bagi mengurangkan masalah serta meningkatkan kelancaran sistem saliran,” katanya.

Ujarnya, beliau amat gembira melihat Keluarga Malaysia di negeri ini yang mampu hidup secara harmoni dan saling membantu antara satu sama lain seperti sebuah keluarga, ibarat “lemah menapis, condong menopang.”

“Saya yakin dengan menjunjung semangat Keluarga Malaysia, kita bukan sahaja dapat mewujudkan kestabilan politik dan ekonomi, malah dapat mengekalkan keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati oleh setiap
lapisan masyarakat,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan