29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pekerja Utusan Melayu perlu dapat pembelaan sama – Johan

Nasib petugas Utusan Melayu selepas penutupan syarikat adalah sejarah getir dunia kewartawanan negara, khususnya kewartawanan Melayu.

Mesti Baca

RATUSAN lagi pekerja Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang diberhentikan termasuk yang tidak terlibat dengan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) perlu mendapat pembelaan yang sama.

Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, kesemua mereka telah menanggung penderitaan yang luar biasa akibat diberhentikan tanpa pampasan yang sewajarnya.

Jelas beliau, sebahagian besar daripada mereka yang hilang mata pencarian hidup dalam keadaan yang sangat mencabar beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya berdukacita bahawa syarikat yang bermula pada tahun 1939 dan yang bertanggungjawab menerbitkan akhbar yang dianggap suara keramat orang Melayu telah terhenti operasinya pada tahun 2019.

“Akhbar dan majalah terbitan Utusan Melayu telah menjadi sebahagian daripada sejarah bangsa Melayu dan negara Malaysia.

“Selama 80 tahun, akhbar dan majalah terbitan Utusan Melayu telah menjadi perakam sejarah negara bangsa yang bangga ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Johan berkata,sumbangan para wartawan dan petugas Utusan Melayu harus sentiasa dihargai.

Johan Jaafar pernah menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu.

Jelas beliau, apa yang berlaku pada petugas Utusan Melayu selepas penutupan syarikat adalah sejarah getir dunia kewartawanan negara, khususnya kewartawanan Melayu.

Johan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu dari 1992 hingga 1998 berkata, beliau menggesa pembayaran segera dibuat kepada 160 orang bekas kakitangan syarikat tersebut yang terlibat VSS ekoran keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Oktober baru lalu.

Katanya, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nadzarin Wok Nordin memutuskan bahawa penerima VSS adalah benefisiari harta-harta amanah dan mereka bukan pemiutang Utusan Melayu.

“Oleh yang demikian mereka tidak terlibat dalam proses likuidasi dan berhak menerima manfaat daripada harta-harta yang dilabelkan sebagai amanah.

“Dalam penghakiman beliau, Nadzarin juga mengisytiharkan 29 hartanah milik Utusan Melayu dan anak-anak syarikatnya termasuk Utusan Publications dan Distributor Sdn Bhd, U-Print Sdn Bhd, Utusan Land Sdn Bhd, Juasa Holdings Sdn Bhd dan Madiamony Sdn Bhd adalah ‘harta amanah’,” katanya.

Tegas beliau, pihak pelikuidasi yang diberikan amanah perlu memastikan pekerja yang terlibat dalam VSS mendapat pampasan mereka secepat mungkin.

Katanya, pekerja Utusan Melayu yang terlibat sebelum ini telah menuntut pemilik baharu serta majikan menunaikan janji untuk melangsaikan bayaran baki VSS menggunakan dana hasil penjualan hartanah milik Utusan Melayu.

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan