TOKOH Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar kesal dengan tindakan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang secara terbuka membidas Berita Harian (BH) kerana status di Facebook mengenai kadar kenaikan semalaman (OPR) semalam.
Menerusi satu kenyataan Johan berkata, selaku menteri, Fahmi sepatutnya faham tujuan sebenar pelaporan berita dan status yang dimuat naik di Facebook itu sekadar memetik padangan dan ramalan penganalisis
Kata beliau, tindakan membidas BH secara terbuka secara tidak langsung memberikan persepsi negatif terhadap setiap pelaporan berita daripada mereka.
“Beliau sepatutnya faham bahawa laporan itu memetik kepada padangan dan ramalan penganalisis.
“Dengan kenyataan itu, Fahmi telah menanamkan rasa tidak orang ramai terhadap media dan menjejaskan nama baik akhbar tempatan. Sebelum ini beliau menjanjikan media kebebasan membuat laporan dalam kerangka undang-undang sedia ada,” katanya hari ini.
Fahmi semalam mengadakan pertemuan bersama Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, serta pengurusan tertinggi Media Prima susulan laporan BH mengenai OPR yang beliau sifatkan mengelirukan orang ramai.
Hasil pertemuan tersebut, pengurusan BH dikatakan bersetuju untuk memperbetulkan status di Facebook berkenaan.
Gerakan Media Merdeka (Geramm) pula menerusi kenyataan menyifatkan tindakan Fahmi adalah bentuk ancaman terhadap kebebasan media.
Kata Geramm, tindakan itu bertentangan dengan kebebasan media yang diperjuangkan kerajaan.
Dalam pada itu Johan berpendapat, perkara seumpama ini berlaku disebabkan menteri-menteri terlibat tidak cukup matang dalam menangani isu membabitkan media.
“Saya melihat kecenderungan yang tidak sihat apabila beberapa orang menteri mempertikaikan laporan media yang tidak menyebelahi mereka”, katanya. – Edisi 9