31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Malaysia raih pelaburan RM170 bilion daripada China – PM

Jumlah pelaburan terbesar daripada sejumlah 19 MoU yang dimeterai antara perniagaan China-Malaysia

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA mencatat rekod komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah bernilai RM170 bilion daripada China selepas 19 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara ahli perniagaan kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen tersebut jelas menunjukkan keyakinan pelabur terhadap negara ini.

“Kita telah mencapai komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion dari China. Saya perlu berterima kasih kepada para pelabur kerana memberikan kerjasama mereka dan keyakinan terhadap kita.

“Ini adalah acara bersejarah. Baik untuk Malaysia dan masa depan,” katanya seperti dipetik daripada Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian dalam Forum Perniagaan Malaysia-China, yang dihadiri kira-kira 1,000 pemimpin perniagaan dari kedua-dua negara, di Beijing, China hari ini.

Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran 19 MoU antara syarikat yang terlibat.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Anwar kini pada hari terakhir dalam lawatan tiga hari ke China bagi meningkatkan hubungan politik dan perdagangan dua hala yang strategik kedua-dua negara.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 14 tahun berturut-turut dengan jumlah perdagangan sebanyak RM488 bilion pada 2022.

Dari segi pelaburan, China merupakan pelabur langsung asing terbesar di Malaysia pada tahun lalu dengan pelaburan berjumlah RM55.16 bilion.

Berdasarkan statistik Kementerian Luar Negeri, jumlah eksport ke China meningkat 9.4 peratus kepada RM210.62 bilion pada 2022 manakala import dari China berjumlah RM276.50 bilion pada tahun yang sama, peningkatan 20.7 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan