24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

MTUC syor lembaga pengarah Utusan Melayu disenarai hitam

Mesti Baca

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengesyorkan agar kerajaan menyenarai hitam ahli lembaga pengarah syarikat Utusan Melayu Malaysia Berhad daripada menjadi lembaga pengarah syarikat lain.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, membiarkan bekas pekerja berjuang untuk mendapatkan pampasan daripada syarikat jelas menunjukkan keperibadian ahli lembaga pengarah yang rosak dan tidak layak untuk menguruskan syarikat.

“MTUC amat kecewa dan menyelar pihak pengurusan Utusan Melayu Malaysia Berhad (Utusan Melayu) yang tidak mengambil tahu dan lepas tangan mereka atas keadaan bekas pekerja mereka sehingga ada antara mereka yang menderita akibat kesan penutupan syarikat.

“MTUC mengsyorkan kepada kerajaan supaya ahli lembaga yang terlibat dalam penutupan syarikat dan gagal membayar pampasan kepada bekas pekerja diharamkan pendaftaran sebagai ahli lembaga untuk syarikat lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Johan Jaafar yang menggesa semua bekas pekerja syarikat itu yang diberhentikan termasuk mereka yang terlibat dengan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) diberikan pembelaan sama.

Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu itu berkata, kesemua mereka telah menanggung penderitaan yang luar biasa akibat diberhentikan tanpa pampasan yang sewajarnya.

Jelas beliau, sebahagian besar daripada mereka yang hilang mata pencarian hidup dalam keadaan yang sangat mencabar beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya berdukacita bahawa syarikat yang bermula pada tahun 1939 dan yang bertanggungjawab menerbitkan akhbar yang dianggap suara keramat orang Melayu telah terhenti operasinya pada tahun 2019.

Advertisements

“Akhbar dan majalah terbitan Utusan Melayu telah menjadi sebahagian daripada sejarah bangsa Melayu dan negara Malaysia.

“Selama 80 tahun, akhbar dan majalah terbitan Utusan Melayu telah menjadi perakam sejarah negara bangsa yang bangga ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu Kamarul Baharin mengingatkan bahawa pembayaran pampasan adalah tanggungjawab yang perlu ditunaikan setelah bekas pekerja meyumbangkan tenaga dan masa muda mereka untuk keuntungan syarikat sehingga dapat membeli aset-aset hartanah yang berjumlah jutaan ringgit.

Katanya, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melantik pekerja sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat adalah untuk menjaga kebajikan pekerja dalam sebarang keputusan adalah langkah yang baik dalam tadbir urus syarikat.

“MTUC mahu kepentingan dan kebajikan pekerja perlu diutamakan oleh mana-mana syarikat yang digulungkan.

“Kerajaan perlu membuat pindaan terhadap Akta Syarikat, Akta Kerja 1955 dengan memasukkan kewajipan syarikat menjaga kebajikan bekas pekerja,” tegas beliau.

Katanya, isu kegagalan syarikat membayar pampasan kepada pekerja adalah isu yang menjadi mimpi buruk kepada MTUC.

Beliau menjelaskan, perjuangan MTUC terhadap syarikat Perwaja yang mengambil masa sehingga tujuh tahun bagi pembayaran adalah penderitaan yang panjang untuk para pekerja. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan