32.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Najib terima RM2.28 bilion hasil 1MDB sejak 2012 – Penganalisis

Mesti Baca

SEORANG penganalisis Bank Negara (BNM) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak menerima RM2.3 bilion hasil daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Adam Ariff Mohd Roslan, 34, berkata, ia diterima dalam empat fasa dari 2011 hingga 2014 melalui dua akaun peribadinya di AmIslamic Bank Berhad.

Menurut analisisnya, jejak wang dana tersebut yang diterima oleh dua akaun bank peribadi (berakhir dengan nombor 694 dan 880) boleh dikesan dan dibahagikan kepada empat fasa iaitu fasa Good Star, fasa Aabar-BVI, fasa Tanore dan fasa beli balik opsyen antara 2011 dan 2014.

“Bagi fasa Good Star antara 23 Februari dan 14 Jun 2011, sejumlah RM60,629,839.43 daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun 694 AmPrivate Banking-MR Najib di AmIslamic Bank, daripada akaun di Riyad Bank, Arab Saudi, boleh dikesan kepada terbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 1MDB pada 2009 dan pinjaman bertempoh bersindiketnya pada 2010.

“Untuk fasa Aabar-BVI antara 30 Oktober dan 20 November 2012, sebanyak RM90,899,927.28 daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun 694 Najib, daripada akaun di Standard Chartered Bank, Singapura, atas nama Blackstone Asia Real Estate Partners, didapati boleh dikesan kepada bon yang diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd. pada 2012,” kata penganalisis itu, yang dipinjamkan ke pasukan petugas 1MDB, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018.

Saksi pendakwaan ke-47 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Advertisements

Saksi itu berkata, bagi fasa Tanore antara 21 Mac dan 10 April 2013, sejumlah RM2,081,476,926.00 daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun 694 Najib, daripada akaun di Falcon Private Bank, Singapura, yang atas nama Tanore Finance Corp, didapati boleh dikesan kepada bon yang diterbitkan oleh 1MDB Global Investment Ltd pada 2013.

Selain itu, Adam Ariff turut menjelaskan bahawa bagi fasa beli balik opsyen pada 23 Jun 2014, sejumlah RM4,093,500.00 daripada hasil dikreditkan ke dalam akaun 880 AmPrivate Banking-1MY Najib di AmIslamic Bank, daripada akaun di DBS Bank, Singapura, atas nama Blackrock Commodities (Global) Ltd., boleh dikesan kepada hasil pinjaman RM1.16 bilion 1MDB Energy Holdings Ltd. pada 2014.

“Semasa fasa beli balik opsyen antara 23 Oktober dan 19 Disember 2014, sejumlah RM45,837,485.70 daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun 880 Najib daripada akaun di Bank Amicorp, Barbados, atas nama Vista Equity International Partners Limited, didapati sebahagiannya boleh dikesan kepada hasil pinjaman RM4.529 bilion 1MDB Energy Holdings Ltd. pada 2014,” katanya.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Pelajar UPSI adakan program bakti bersama gelandangan

SEKUMPULAN pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program khidmat bakti bersama golongan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala...

Lagi Artikel Berkaitan